Pelacuran di sebalik rumah urut diserbu

 Pelacuran di sebalik rumah urut diserbu

Seramai 13 lelaki dan wanita ditahan polis kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran dalam serbuan di sebuah premis di bandar Batu Pahat semalam.

Oleh Nurman Nasyriq

BATU PAHAT, 22 Feb – Berselindung di sebalik rumah urut yang ditutup kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebaliknya adalah tempat melepaskan nafsu untuk kegiatan persundalan dilakukan oleh wanita warga asing.

Walau bagaimanapun, kegiatan itu dapat dibongkar petugas Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dalam satu serbuan di sebuah premis selepas risikan selama sebulan di bandar ini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, ketika serbuan pihaknya terpaksa memecah masuk ke premis berkenaan yang berkunci kerana suspek tidak memberi kerjasama.

Dalam serbuan jam 2.50 petang itu, polis menahan tujuh wanita dan tiga lelaki warga negara asing disyaki menjalankan aktiviti pelacuran selain dua lelaki tempatan dipercayai pelanggan dan seorang wanita tempatan berumur dalam lingkungan 30-an dipercayai penganjur aktiviti pelacuran itu.

Mereka berusia antara 20 hingga 52 tahun. Polis juga merampas sejumlah kondom, cecair pelincir, minyak urut dan wang tunai yang dipercayai hasil aktiviti pelacuran, katanya di sini, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 372B dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana menjalankan aktiviti pelacuran dan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Semua tangkapan direman selama tujuh hari mulai hari ini untuk membantu siasatan lanjut dan turut dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

48  −  45  =