Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut

 Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu berakhir 24 September, yang menyaksikan aliran masuk bersih berjumlah RM15.85 juta, menjadikan minggu ketujuh berturut-turut untuk belian bersih oleh pelabur asing.

Menurut MIDF Research, Malaysia, Thailand dan Indonesia mencatatkan aliran masuk pelabur asing pada minggu lepas dalam kalangan pasaran Asia Tenggara kecuali Filipina.

Katanya pelabur asing dan institusi tempatan adalah penjual bersih, masing-masing berjumlah RM120.77 juta dan RM17.88 juta, apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lepas manakala peruncit adalah pembeli bersih berjumlah RM138.65 juta nilai ekuiti di Bursa Malaysia.

“Pelabur asing adalah pembeli bersih untuk kebanyakan minggu itu kecuali pada Isnin dan Jumaat dengan aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada Khamis dan aliran masuk terkecil pada Rabu, masing-masing berjumlah RM117.45 juta dan RM25.32 juta.

“Bagi peruncit, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari pada minggu itu kecuali pada Khamis, dengan pembelian bersih terbesar oleh peruncit dicatatkan pada Isnin dan pembelian bersih terkecil pada Rabu, masing-masing berjumlah RM138.65 juta dan RM2.79 juta,” menurut firma penyelidikan itu.

Katanya secara kumulatif, pada minggu itu, peruncit bersih membeli RM242.78 juta manakala institusi tempatan mencatatkan jualan bersih mingguan terkumpul berjumlah RM258.64 juta.

“Institusi tempatan adalah penjual bersih setiap hari pada minggu itu kecuali pada Jumaat dengan jualan bersih terbesar pada Selasa sebanyak RM159.90 juta manakala satu-satunya aliran masuk pada Jumaat berjumlah RM51.02 juta.

“Sejak awal 2021, secara kumulatif, peruncit telah menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti kita sebanyak RM10.28 bilion manakala institusi tempatan dan pelabur asing merupakan penjual bersih, masing-masing sebanyak RM6.64 bilion dan RM3.64 bilion,” katanya.

MIDF Research berkata dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing, masing-masing mencatatkan pergerakan mingguan sebanyak 7.77 peratus, 13.73 peratus dan -31.26 peratus dalam purata nilai dagangan harian (ADTV).

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *