• Sunday, 20 June 2021, 9:35 am

Pekebun bersyukur FAMA bantu pasarkan labu

 Pekebun bersyukur FAMA bantu pasarkan labu

Teks & foto oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 3 Jun – “Kesanggupan
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) PahangĀ membantu memasarkan buah labu manis dapat mengelak kejadian lambakan dan kerugian pada pekebun.

“Terdapat seramai 145 pekebun di daerah ini, setiap mereka menghasilkan antara 10 hingga 25 tan buah labu pada musim kali ini,” kata pekebun Mohd Nor Ali, 63.

Menurutnya, dia dan pekebun lain amat berterima kasih pada FAMA yang hampir setiap tahun membantu memasarkan hasil pertanian pekebun di Kampung Pandan, Kampung Serun dan Kampung Merchong, di sini.

Sistem harga semasa ditawarkan dapat diterima semua pekebun kerana masih memberi keuntungan.

Katanya, diperingkat awal sebelum penanaman dilakukan pegawai FAMA daerah Pekan memberi khidmat nasihat serta mengatur jadual menanam selain turut menyediakan bantuan benih.

“Sebagai peserta pekebun ladang kontrak pemasaran kami turut dibekalkan dengan
bekas jaring hijau untuk mengisi buah labu, setiap satu diisi dengan buah seberat 20 kilogram yang akan dipindahkan ke lori.

Pekebun labu Mohd Nor Ali meraih hasil 20 tan buah labu manis di Kampung Pandan.

“Pada musim kali ini hampir semua 145 pekebun labu memasarkan hasil kepada FAMA berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang menyebabkan pemborong luar tidak dapat datang membeli buah,” katanya, di sini hari ini.

Dia yang mengusaha kebun seluas dua hektar di Kampung Pandan berkata, musim kali ini sebanyak 20 tan hasil labu dipasarkan kepada FAMA mengikut harga semasa yang menguntungkan.

Bagi Azlina Abu Bakar, 34 yang mengusahakan tanaman labu manis seluas lebih dua hektar berkata, tanpa bantuan FAMA dia mungkin menanggung kerugian setiap tahun.

“Musim kali ini saya mampu mengeluarkan hasil kira-kira 25 tan buah labu, hampir semua buah dijual kepada FAMA pada harga semasa yang menguntungkan,” katanya yang musim kedua menanam labu manis.

Sementara itu Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan berkata, musim kali ini pihaknya membantu memasarkan lebih 300 tan labu manis hasil tanaman 145 pekebun di tiga kampung daerah ini.

“Pada musim kali ini Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan menerima 22 tan buah labu seminggu untuk dipasarkan kepada peruncit termasuk pemborong dalam dan luar Pahang.

“Aktiviti pemasaran buah labu di daerah ini dijangka berterusan selagi mendapat permintaan daripada pekebun kerana program tanaman pokok berkenaan dilakukan secara berperingkat bagi mengelak berlaku lambakan buah dalam satu masa,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *