Pejabat Parlimen Besut bina 212 Rumah Komuniti

 Pejabat Parlimen Besut bina 212 Rumah Komuniti

Rumah Komuniti ke-212 dibina oleh Pejabat Ahli Parlimen Besut untuk penduduk miskin

Oleh Mohammad Ishak

JERTIH, 23 Feb — Mungkin ramai yang sangsi dan tidak percaya membina sebuah rumah kediaman berukuran 600 kaki persegi mengandungi tiga bilik dengan kos hanya RM20,000 dan siap dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Namun Pejabat Ahli Parlimen Besut, membuktikan kejayaan pembinaan rumah berkenaan untuk diagihkan secara percuma kepada penduduk kurang berkemampuan yang tidak mempungyai rumah kediaman sendiri.

Datuk Seri Idris Jusoh, Ahli Parlimen Besut

Kediaman yang dikenalii sebagai Rumah Komuniti itu diilhamkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh dan sejak diperkenalkan pada 2016 sehingga kini seramai 212 penduduk sudah mendapat rumah percuma itu.

Terbaharu, Suhaimi Abd Rahim, 51, dari Kampung Padang Bual, Hulu Besut adalah antara golongan kurang berada yang bertuah kerana dipilih menerima rumah ke-212 itu.

Penyerahan kunci rumah disempurnakan oleh Idris pada satu majlis ringkas di perkarangan rumah itu semalam.

Suhaimi yang bekerja sebagai buruh ketika menerima kunci rumah itu terharu kerana impiannya untuk mendapatkan rumah sendiri terlaksana dengan adanya sumbangan Pejabat Ahli Parlimen Besut.

“Saya tidak mampu untuk membina rumah kediaman sendiri kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan terpaksa tinggal di rumah sewa sejak lebih 20 tahun lalu,” katanya.

Beliau yang mempunyai tanggungan enam anak bersyukur dengan usaha yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan kerana kini dapat tinggal di rumah yang lebih selesa dan selamat.

Pada awalnya konsep pembinaan Rumah Komuniti dilakukan secara gotong-royong tetapi kini diserahkan kepada kontraktor untuk membinanya. Dengan kos RM20,000, kontraktor terbabit tidak memperolehi keuntungan yang tinggi, sebaliknya ia satu konsep bersedekah yang turut dikongsi kontraktor berkenaan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5  +  1  =