Peguam Negara perlu beri penjelasan isu kes profil tinggi dibebaskan

 Peguam Negara perlu beri penjelasan isu kes profil tinggi dibebaskan

Tan Sri Idrus Harun

KUALA LUMPUR, 2 Okt — Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk menjelaskan mengenai isu pembebasan individu yang terlibat dalam kes berprofil tinggi.

PH dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, pihaknya amat risau dengan trend kes mahkamah melibatkan individu-individu penyokong parti pemerintah yang telah dibebaskan dari pendakwaan dengan memulangkan sejumlah wang yang didakwa diterima secara tidak sah atau dengan membuat bayaran kompaun.

“Terbaharu adalah kes yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian merangkap Setiausaha Agung UMNO yang didakwa menerima sejumlah wang dari Datuk Seri Najib Razak yang dipercayai dana 1MDB.

“Oleh yang demikian, kami menggesa Peguam Negara untuk beri penjelasan memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan beliau.

“Peguam Negara juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi operasi prosedur standard (SOP) baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain. Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada “barang kes” tersebut?,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat secara bersama melibatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu; Setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Mengulas lanjut, PH turut kesal dengan sikap acuh tidak acuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seolah-olah mengiakan trend baharu ini.

“Bolehkah SPRM memberikan penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan pembayaran balik wang sogokan yang dirampas sepertimana yang membabitkan ahli politik penyokong kerajaan?.

“Demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum (rule of law), trend baharu Peguam Negara dan SPRM ini jelas melanggari prinsip bahawasnya keadilan itu bukan sahaja mesti dilakukan tetapi juga mesti disaksi dilakukan.

“Tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki agar SPRM mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

54  −  53  =