Pegawai Malaysia, Singapura laksana latihan pembukaan VTL darat

 Pegawai Malaysia, Singapura laksana latihan pembukaan VTL darat

Pegawai dari Malaysia dan Singapura hari ini melaksanakan latihan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Malaysia dan Singapura hari ini mengadakan latihan bersama-sama bagi pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat melibatkan sempadan kedua-dua negara yang akan dilaksana serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan dalam akaun Twitternya hari ini memaklumkan, pegawai dari kedua-dua negara tersebut terlibat dalam latihan berkenaan.

Beliau turut memuat naik beberapa keping foto latihan berkenaan yang mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya.

“Pegawai dari Malaysia dan Singapura sedang melaksanakan ‘dry run’ bagi cadangan pembukaan VTL melalui Tambak Johor hari ini.

“Pembukaan sempadan ini amat dinanti-nantikan oleh rakyat kedua-dua negara. Semoga berjaya,” ciapnya.

Ahad lalu, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dilaporkan mengumumkan, VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Hasni dilaporkan berkata, itu adalah hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

Semalam pula, Hasni menerusi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) memberitahu, Johor bersedia menerima masuk 1,440 individu pada minggu pertama laluan VTL darat antara Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, Johor sudah menghantar prosedur operasi standard (SOP) khas kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan VTL darat itu dilaksanakan, sekali gus sempadan antara Malaysia-Singapura dapat dibuka segera.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dijangka mengadakan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar pada 29 November ini.

Tujuannya bagi meninjau kemasukan sulung menerusi VTL darat, selepas hampir 20 bulan sempadan Malaysia-Singapura ditutup sejak tahun lalu.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *