PDRM lanjut tempoh diskaun 50 peratus MyBayar Saman

 PDRM lanjut tempoh diskaun 50 peratus MyBayar Saman

Anggota polis Cawangan Pengurusan Saman Koperal Adilah Mohamed@Ahadiah menunjukkan aplikasi MyBayar Saman

KUALA LUMPUR, 12 April — Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh lanjutan diskaun 50 peratus bayaran saman kompaun kesalahan trafik menerusi aplikasi MyBayar Saman sehingga Khamis ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata berikutan sambutan menggalakkan, tempoh lanjutan empat hari itu dilaksanakan bagi memberi peluang orang awam menjelaskan saman kompaun kesalahan trafik masing-masing.

“Sehingga semalam iaitu hari ke-18 tempoh diskaun berkenaan diperkenal, PDRM mengutip sejumlah lebih RM73 juta bayaran saman daripada orang ramai membabitkan 659,998 saman.

“Jumlah itu merangkumi 56,909 saman membabitkan bayaran berjumlah lebih RM6.28 juta dijelaskan melalui aplikasi MyBayar Saman,” menurut beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Azisman berkata sehingga kini seramai 708,030 pengguna telah berdaftar dengan aplikasi MyBayar Saman.

Pada 25 Mac lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata orang ramai yang mempunyai saman kompaun trafik boleh menikmati diskaun sehingga 50 peratus menerusi pendaftaran portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman, sehingga 11 April.

Bagaimanapun tawaran diskaun itu tidak terpakai untuk kesalahan utama trafik antaranya melanggar lampu isyarat merah; memandu melebihi had laju ditetapkan; memotong garisan berkembar; menggunakan telefon semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan.

Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian MyBayar Saman dengan melayari portal rasmi PDRM atau pautan https://mybayar.rmp.gov.my manakala bagi aplikasi mudah alih perlu memuat turun menerusi Google Playstore atau Apple Store serta mendaftar sebagai pengguna sebelum bayaran dapat dibuat.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

27  +    =  31