PDRM berdepan perubahan trend sosial, jenayah era teknologi & ekonomi digital

 PDRM berdepan perubahan trend sosial, jenayah era teknologi & ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perbarisan sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.–fotoBERNAMA (2021)

Oleh Mohd Kamal Ahmad

SANG Saka Biru memiliki sejarah hebat yang boleh ditelusuri sejak zaman Kesultanan Alaudin Ri’ayat Shah di Melaka. Hari ini, pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyambut Hari Polis Ke-214. PDRM  satu-satunya organisasi penguatkuasa undang-undang tertua dan sangat berjasa di negara ini untuk tempoh lebih 200 tahun. Pada zaman Kesultanan Melaka, polis ditugaskan membanteras kecurian dan jenayah lain di pelabuhan. Hari ini, PDRM adalah antara pasukan polis terbaik di dunia. Tahniah! Sebagai penguatkuasa undang-undang dan penegak keamanan, kini PDRM berdepan perubahan trend jenayah baharu yang canggih, kompleks dan terancang yang seiring perkembangan internet, aktiviti maya, ekonomi digital serta landskap baharu sosial.

Wacana.my semalam dikongsikan dengan teks ringkas daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang berbunyi: “Diucapkan Selamat Hari Polis kepada semua warga PDRM. Sambutlah hari bersejarah ini dengan rasa penuh kesyukuran kerana keamanan negara telah berjaya dipelihara. Tanamlah azam baru pada diri masing-masing untuk terus berkhidmat dengan penuh disiplin dan berintegriti. Sebagai anggota di dalam pasukan keramat ini jika kita cuai dan lalai maka akan hancurlah negara ini. Daulatkanlah undang-undang dan negara pasti akan bergerak maju.”

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi tabik hormat pada hari perbarisan sempena sambutan peringatan hari Polis ke-214 tahun 2021 di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia hari ini.–fotoBERNAMA (2021)

Daripada teks ini, beliau mengungkapkan antara cabaran besar PDRM kini ialah integriti. Ini merujuk kepada tiap seorang anggota PDRM yang perlu menampilkan ketinggian disiplin, akhlak, kemahiran dan keupayaan untuk mempertahankan integriti seiring maksud serta tuntutan apabila meletakkan perkataan Allah dan Muhamad pada lencananya. Pada masa sama, cabaran besar lain pasukan itu ialah menangani jenayah kolar putih, jenayah digital serta jenayah siber tanpa berkompromi dalam soal menjaga dan mempertahankan ketenteraman awam, keharmonian, keselamatan serta keamanan.

Sementara itu, PDRM pada kacamata seorang peguam melihat antara tugas pasukan itu ialah menjalankan siasatan sesuatu kes jenayah yang dilaporkan. Hasil siasatan akan diserahkan kepada pihak Pendakwa Raya bagi menentukan pendakwaan dijalankan.

“Namun pada zaman teknokogi IT, siber dan digital ini, sifat kejadian jenayah telah bertambah canggih dan kompleks. Justeru, pegawai penyiasat PDRM mesti mempersiapkan diri dengan kemahiran, pengalaman dan pengetahuan yang tinggi  dalam setiap aspek supaya berupaya menyiasat dan menghasilkan siasatan yang lebih berkesan.

“Jika hasil siasatan yang baik, ini akan menjadikan sesuatu pendakwaan itu berkesan dan berjaya. Sebaliknya, jika cara dan hasil siasatan lemah, sudah tentulah pendakwaan juga akan menghadapi masalah dan gagal membuktikan kes,” kata peguam, Dato’ Dr Haji Mohd Radzuan Haji Ibrahim kepada Wacana.my, hari ini.

Dato’ Dr Mohd Radzuan Ibrahim, peguam

Justeru, beliau menyarankan PDRM menitikberatkan kemahiran dan pengetahuan di kalangan pegawai serta anggotanya pada tahap yang tinggi serta pendedahan kepada kemahiran mahupun kepakaran tertentu.

“Ini termasuk teknik-teknik baharu dalam siasatan, termasuk menghadiri kursus dan latihan di dalam mahupun di luar negara dalam bidang siasatan berkenaan jenayah siber, IT, digital dan sebagainya. Pasukan forensik juga seharusnya disediakan dengan kemahiran dan peralatan canggih sesuai dengan peredaran zaman serta perkembangan teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata, kemahiran pegawai dan anggota PDRM dengan peralatan canggih sahaja tidak mencukupi tetapi perlu ditanam dengan perkara asas dan utama iaitu integriti.

“Dalam perkembangan terkini, pucuk pimpinan polis sendiri mendedahkan terdapat kartel dalam pasukan PDRM yang terlibat dalam rasuah dan aktiviti haram. Perkara ini bukan perkara baharu, malah telah diperkatakan masyarakat umum sejak sekian lama.

“Oleh itu, tindakan merombak secara besar-besaran di mana-mana tempat yang dikatakan terlibat dan mengenakan hukuman yang berat terhadap pegawai atau anggota yang terlibat rasuah mahupun aktiviti haram, akan dapat mengembalikan persepsi baik masyarakat terhadap polis,” katanya.

Anggota polis mengaminkan bacaan doa pada Majlis Perhimpunan sempena sambutan Peringatan Hari Polis yang ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Jalan Stadium hari ini.–fotoBERNAMA (2021)

Sementara itu, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, PDRM adalah agensi penguatkuasaan yang penting di negara kita.  Jadi, adalah amat penting supaya institusi PDRM lebih memberikan perhatian terhadap usaha meningkatkan profesionalisme anggotanya untuk memastikan peranan mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan berada pada tahap terbaik.

Tan Sri Lee Lam Thye

“Selain itu, PDRM harus melaksanakan tugasnya secara berkesan, beramanah dan berintegriti supaya ia tetap dihormati dan disayangi oleh rakyat, masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau turut berharap PDRM berusaha memastikan kebajikan anggotanya sama ada yang sedang berkhidmat atau yang sudah bersara supaya sentiasa terjaga dan terbela.

“Dengan memastikan kebajikan mereka terjaga, kita akan dapat mewujudkan anggota yang lebih komited, dedikasi dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang digalas di bahu mereka,” katanya.

Sejajar perkembangan semasa, perlukah semua 10 jabatan PDRM melalui pembaharuan yang radikal bagi berdepan dan menangani perubahan sosial dan teknologi sekarang, termasuk peningkatan mendadak jenayah internet selain peranan mempromosikan keselamatan awam? Realitinya, warga global termasuk kita kini diancam dan berada di bawah pengaruh penjenayah siber dan bukan lagi samseng atau penjenayah di jalanan.

Jadi, kewujudan internet dan teknologi telah mengubah bentuk dan trend jenayah. Ia mewujudkan ruang atau lapangan baharu iaitu alam siber di mana jenayah berlaku di situ. Hakikat ini memberi implikasi yang besar kepada polis termasuk PDRM, untuk menguasai satu gaya dan kemahiran penyiasatan jenayah yang baharu serta berkemampuan berada beberapa langkah di hadapan penjenayah siber. Begitu juga cabaran kepada unit forensik digital.

Dalam perkembangan sama, kepesatan pertumbuhan komunikasi dalam talian, aplikasi dan media sosial turut membuka ruang atau akses kepada kejadian jenayah berkaitan penipuan, pemalsuan, seksual dan pemerdagangan manusia. Contoh, kecanggihan perisian photoshop juga disalahgunakan untuk pelbagai jenayah. Terkini, wujud ‘deepfake’ yang juga akan dieksploitasi untuk pelbagai tujuan jenayah. Timbunan data dalam dunia siber juga menjadikan penjenayah dalam talian umpama ‘tikus jatuh ke beras’. Data untuk dieksploitasi untuk pelbagai tujuan jenayah.

Pada usia 214 tahun ini, ketumbukan 130,000 anggota dan pegawai PDRM pasti sudah melakukan persiapan serta menguasai kemahiran dan kepakaran terbaik untuk berdepan dengan masyarakat, teknologi, ekonomi dan jenayah yang berbeza. Demikianlah harapan dan keyakinan rakyat Malaysia kepada PDRM.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memeriksa barisan kawalan kehormatan pada perbarisan sempena sambutan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.–fotoBERNAMA (2021)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  6  =  1