PDPR: Telefon bimbit tak sesuai, pelajar perlu komputer riba

 PDPR: Telefon bimbit tak sesuai, pelajar perlu komputer riba

Datin Noor Azimah Abdul Rahim

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) berpendapat telefon bimbit tidak sesuai untuk pembelajaran formal.

Presidennya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, kerajaan perlu menyediakan komputer riba atau alat yang sesuai kepada setiap pelajar untuk memastikan kelas dalam talian dapat dijalankan dengan cekap.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu menghubungkan seluruh negara secepat mungkin dengan Jendela,” katanya ketika dihubungi wacana.my di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai fokus keperluan telefon bimbit sebagai antara perkakasan untuk melaksanakan Sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR). Katanya, komputer riba walaupun tanpa capaian internet sangat penting untuk belajar manakala fizikal telefon bimbit itu pula menimbulkan pelbagai kesulitan ketika digunakan serta impak lain kerana saiz skrin kecil.

“Pelajar dapat mengakses bahan digital setelah dimuat turun di tempat yang sesuai (komputer riba) dengan capaian internet yang baik,” katanya sambil menambah bahawa peranan guru dapat memudahkan dan memberikan interaksi yang tidak dapat dilakukan oleh TV Pendidikan.

“Walaupun jika kelas fizikal kembali beroperasi, komputer riba ini masih boleh digunakan di rumah,” katanya.

Justeru, Noor Azimah mencadangkan kerajaan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan komputer riba di sekolah supaya komputer riba dapat diperbaiki sekiranya keperluan itu timbul.

“Ia mungkin serupa dengan skim pinjaman buku teks, di mana pelajar mesti mengembalikan komputer riba ke sekolah setelah mereka menamatkan pelajaran di sekolah,” katanya.

Beliau yang juga pengasas PAGE menyatakan, Malaysia harus mempertimbangkan dalam masa terdekat ini untuk menyelaraskan silibus pendidikan dengan penilaian yang lebih berasaskan antarabangsa seperti IGCSE & A Level atau IB dan lain-lain kerana bahasa pengantarnya adalah bahasa Inggeris.

“Oleh kerana pendidikan ibarat sebuah kapal besar, ia akan memerlukan kemahuan politik yang besar untuk mengubah haluan.

“Paling baik, dengan adanya ibu bapa dan pelajar yang berada di bawah tekanan kerana wabak COVID-19, ia dapat mendorong kekuatan yang lebih untuk menyatukan lebih banyak sekolah di bawah program dwibahasa (DLP) dengan lebih cepat,” katanya.

Noor Azimah berkata, objektif utamanya adalah untuk mendorong Kementerian Pendidikan memindahkan semua mata pelajaran teras ke bahasa Inggeris dan memanfaatkan kandungan dalam talian yang ada.

“Janganlah kita mencipta kembali roda, Ini akan membuka saluran pembelajaran untuk anak-anak kita ke seluruh dunia mengikut rentak dan masa mereka sendiri tanpa halangan kerana kualiti pengajaran yang buruk,” katanya sambil menambah bahawa ia juga akan memberi tekanan kepada guru untuk meningkatkan kemahiran diri dengan belajar dari kandungan dalam talian yang luas.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  2  =