PdPR, pembelajaran maya semakin diterima

 PdPR, pembelajaran maya semakin diterima
Oleh Dr Khairol Anuar Ishak

 

PENULARAN pandemik COVID-19 turut menyebabkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran terganggu. Suka atau tidak, masyarakat perlu mengubah cara hidup kepada norma baharu di dalam kehidupan seharian. Dalam sistem pendidikan, ibu bapa dan pelajar dilihat sudah mula dapat menerima perubahan pembelajaran yang berasaskan maya dan pelaksanan Sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Dalam tempoh masyarakat berhadapan dengan tempoh Pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP), langkah kerajaan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan PdPR, pembelajaran online dan remote learning adalah tepat malah terbaik bagi memastikan pengurangan risiko jangkitan yang akan berlaku.

Bagaimanapun, isu keberkesanan selalu dibincangkan di dalam banyak platform termasuk media sosial sama ada daripada persepktif pelajar, guru mahupun ibu bapa. Isu yang menjadi tajuk yang penting adalah berkenaan kualiti PdPR bagi memastikan proses pembelajaran berlaku walaupun tidak menggunakan kaedah konvensional (guru bersemuka dengan pelajar).

Saya berpendapat, soal kualiti tidak menjadi isu yang sangat besar. Ini kerana kurikulum yang dibangunkan di Malaysia telah mengambil kira Falsafah Pendidikan Negara untuk membangunkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelektual, rohani, emosi dan jasmani. Cuma pada ketika negara kita berhadapan dengan pandemik COVID-19, cara penyampaian berubah seperti menggunakan cara online dan remote learning.

Sekiranya semua pihak mengamalkan Plan-Do-Check-Action (PDCA), saya yakin dan percaya proses kualiti PdPR dapat mencapai standard yang sewajarnya dan mencapai pendidikan berasaskan hasil (OBE).  Dalam pelaksanaan PDCA, terdapat empat proses yang penting dan berlaku di dalam proses PdPR iaitu perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian. Sebagai contoh, di institusi pendidikan tinggi awan (IPTA) dan swasta (IPTS), kebanyakan PdPR menggunakan teknologi Webex, Zoom, Microsoft Teams, Google Meet dan aplikasi online learning yang dibangunkan oleh setiap institusi tersebut.

Saya juga terlibat secara langsung di dalam PdPR bagi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) Universiti Utara Malaysia (UUM) secara online. Menerusi pemerhatian, pencapaian mereka adalah lebih baik berbanding kaedah konvensional. Selain itu, pelajar PJJ dilihat lebih berdikari. Mereka perlu lebih banyak berdikari sendiri serta belajar di dalam kumpulan bagi mendapatkan bahan-bahan pembelajaran dan menyelesaikan tugasan yang diberikan bagi tujuan penilaian.

Selain itu, pelajar PJJ dilihat lebih bertanggungjawab kerana mereka perlu lebih disiplin di dalam menguruskan masa bagi mematuhi tempoh tugasan yang telah ditetapkan. Bagaimanapun, aspek psikologi dan emosi harus diberi perhatian oleh pensyarah dan guru bagi memastikan kesediaan mereka untuk menerima pembelajaran dalam talian ini.  Pensyarah dan guru harus memberi sokongan moral dan memberi kepercayaan kepada mereka. Bagi langkah jangka panjang, program latihan dan praktikal berkaitan teknologi di dalam pengajaran perlu diberikan kepada semua pensyarah dan guru bagi memastikan mereka bersedia sekali gus memenuhi standard oleh MQA dan agensi akreditasi yang berkaitan.

Penulis ialah Pengurus Eksekutif Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), UUM.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

42  −  35  =