Patuhi SOP tanggungjawab bersama, tak kira pangkat

 Patuhi SOP tanggungjawab bersama, tak kira pangkat

Shabudin Yahaya

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 13 Jun. – Walaupun sudah setahun lebih negara dilanda wabak COVID-19, masih ada lagi golongan yang belum benar-benar menyesuaikan diri dengan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) di dalam era pandemik ini.

Sejak kebelakangan ini, banyak kes yang tular di media sosial serta platform lain mengenai mereka yang ditahan atau dikompaun kerana tidak mengikut arahan SOP serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya, pematuhan kepada PKP dan SOP adalah tanggungjawab bersama, tidak kira bagi kalangan rakyat mahupun golongan berpangkat.

“Ada yang ditahan ketika berparti atau berkumpul beramai-ramai, ada yang tidak memakai pelitup muka atau tidak mengimbas kod MySejahtera dan paling mengecewakan, ada juga yang didapati cuba menipu penguatkuasa dengan memalsukan surat rentas daerah atau negeri hanya untuk pulang ke kampung ketika cuti Syawal lalu,” kata Shabudin yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri BERSATU Pulau Pinang.

“Ini tidak sepatutnya berlaku, terutamanya dikalangan komuniti beragama Islam dan juga rakyat keseluruhannya. Allah juga memerintahkan kita saling menjaga kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan umat dengan penuh tanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Shabudin, agama Islam mengajar untuk sentiasa jujur dan amanah bukan sahaja di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, tetapi juga di dalam kehidupan harian.

Beliau menyeru agar semua rakyat saling bantu membantu dalam menjaga nyawa serta keselamatan daripada wabak COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini, dan menekankan bahawa SOP dibuat bukan untuk menyusahkan kehidupan harian rakyat, tetapi bagi memudahkan semua untuk kembali hidup normal pada hari akan datang.

“Setiap seorang dari kita mesti mematuhi SOP dan arahan yang diberi, kerana jika kita tidak bertanggungjawab, padahnya ialah kepada semua. Tanggungjawab ini terletak dibahu semua, tak kita yang berpangkat tinggi atau rakyat biasa.

“Negara luar yang berjaya menyekat penularan wabak ni bukan sahaja kerana penguatkuasaan undang-undang, malah pemimpin dan rakyat mereka memainkan peranan dengan mematuhi SOP, bertanggungjawab, jujur dan tidak cuba untuk menipu SOP,” katanya.

Selain itu, Shabudin turut menjelaskan usaha kerajaan dalam mempercepatkan proses vaksinasi negara melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kerajaan kini sedang berusaha meningkatkan perlaksanaan vaksinasi kepada rakyat, dengan pengimportan lebih banyak bekalan vaksin dan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara. Matlamat kerajaan adalah bagi mencapai imunisasi 80 peratus rakyat sebelum akhir tahun, dan Alhamdulillah, jika dilihatkan prestasi terkini, matlamat ini mungkin dicapai lebih awal dari jangkaan.

“Janganlah kita tunggu sehingga saudara, ahli keluarga kita hilang nyawa baru kita mengambil serius perkara ini,” katanya.

Beliau berkata usaha ini perlu disambut rakyat dengan mendaftar diri untuk divaksinasi, serta mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menurunkan kadar jangkitan di dalam komuniti.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  5