Pasukan petugas khas lihat pindaan Akta Pencen 1980 demi kebajikan doktor kontrak

 Pasukan petugas khas lihat pindaan Akta Pencen 1980 demi kebajikan doktor kontrak

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 27 Jul — Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasukan petugas khas dianggotai Kementerian Kesihatan (KKM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) akan melihat keperluan untuk meminda Akta Pencen 1980 demi kebajikan pegawai perubatan dan petugas kesihatan kontrak.

Noor Hisham berkata pindaan itu penting bagi membolehkan pelantikan ke jawatan tetap dengan pilihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau turut meletakkan harapan tinggi dengan langkah itu dapat dibentangkan di Parlimen sekali gus memperoleh sokongan demi kebajikan pegawai kontrak.

“Kita berharap pasukan petugas khas yang diketuai MMA dan KKM akan melihat pindaan Akta Pencen untuk perjawatan tetap dengan pilihan KWSP.

“Kita mempunyai harapan tinggi dalam tempoh dua tahun sambungan kontrak yang diberikan kepada semua 23,000 pegawai kontrak sekarang, usaha meminda Akta Pencen ini akan dibentangkan di Parlimen.

“Saya juga percaya semua Ahli Parlimen akan menyokong usaha ini sepenuh hati demi masa depan negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, untuk sementara waktu, pegawai kontrak masih boleh meneruskan pengajian di peringkat pendidikan pasca siswazah masing-masing sama ada sarjana atau Program Latihan Kepakaran (Parallel Pathway).

Selepas dua tahun atau kurang dari tempoh berkenaan, beliau berharap mereka akan diserap ke perjawatan tetap di bawah KWSP.

“Ketika kita terus berjuang demi keadaan kerja dan masa depan yang lebih baik demi pegawai kontrak, kita mungkin akan menderita dan terluka dalam menelusuri perjalanan kita.

“Dalam mendekati perkara ini, saya lebih suka penyelesaian secara persahabatan melalui rundingan (yang telah berlangsung dengan pelbagai pihak) berbanding demonstrasi, lebih-lebih lagi pada masa yang sukar ketika ini dan kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Kerajaan baru-baru ini bersetuju pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun sebagai penyelesaian segera terhadap isu berbangkit.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia selepas mereka melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Kerajaan turut bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas membabitkan pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama

Selain itu, Kabinet juga bersetuju pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh.

Mereka juga ditawarkan tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

Antara persetujuan lain yang turut dicapai, adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *