Pasukan Cantas pantau kecurian kereta mangsa banjir

 Pasukan Cantas pantau kecurian kereta mangsa banjir

PUTRAJAYA, 23 Dis — ‘Pasukan Cantas’ digerakkan ke kawasan terjejas banjir bagi memantau kes kecurian kenderaan tersadai akibat bencana itu.

Menurut Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin,polis menggerakkan pasukan ini di semua kawasan terjejas untuk mengesan mereka yang cuba mencuri kenderaan milik mangsa bencana.

“Perkara itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani hari ini, dengan pasukan itu akan menjalankan siasatan berhubung kecurian kereta rosak akibat banjir termasuk kes kecurian menggunakan trak tunda.

“Pasukan Cantas secara umumnya dianggotai anggota dan pegawai polis pelbagai pangkat dan akan ditugaskan bagi menangani kes-kes tertentu yang berlaku dalam negara,” katanya. 

Terdahulu, tular dakwaan berhubung kegiatan curi kenderaan mangsa banjir termasuk melibatkan trak tunda yang didakwa cuba membawa lari kereta tersadai.

Hamzah berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan mengenai kes itu kerana semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati berlaku kecurian melibatkan barangan bukan keperluan asas.

“Memang ada yang reda dan halalkan, tetapi bila lihat CCTV, ada yang ambil barangan bukan makanan seperti aksesori telefon, rokok, arak dan benda lain. Ini adalah kes kecurian yang menyebabkan kerugian kepada peniaga,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib dilaporkan berkata, seramai 31 warga asing ditahan susulan insiden pecah dan ceroboh kedai serbaneka di Taman Sri Muda.

Menurut Hamzah lagi, polis menubuhkan Markas Taktikal di daerah Hulu Langat, Selangor bagi menyelaras bantuan banjir di daerah tersebut yang berfungsi sebagai pusat operasi di lapangan dan pegawai pemerintah akan mengkoordinasikan dan menyelaras operasi bantuan semua unit.

“Markas ini akan meningkat dan memperkasakan operasi membersih, membantu dan menjaga kebajikan mangsa banjir yang terjejas,” katanya.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *