Pastikan mangsa banjir terima BWI sebelum pulang dari PPS – PM

 Pastikan mangsa banjir terima BWI sebelum pulang dari PPS – PM

SEGAMAT – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu Bantuan Wang Ihsan (BWI) diberikan kepada semua ketua isi rumah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum mereka pulang ke kediaman masing-masing.

Perdana Menteri tidak mahu lagi melihat terdapat mangsa  yang perlu menunggu lama untuk menerima bantuan itu seperti sebelum ini.

Katanya, pemberian BWI yang lebih awal termasuk dari kerajaan-kerajaan negeri membolehkan keluarga terjejas menampung pembelian kelengkapan baharu yang mungkin rosak akibat bencana itu.

“Kita tak mahu selepas enam bulan baru dapat. Seperti dulu-dulu (ada yang) tiga hingga enam bulan baru dapat. Ada seorang mak cik maklumkan dia tinggalkan semua barang, dia pun tak tahu apa jadi dengan barangan di rumah tetapi memang rosaklah bila biar lama. 

“Jadi kita bagi (BWI) ini terus (kepada keluarga) bagi mengurangkan bebanan mereka yang mungkin boleh beli barang keperluan dan lain-lain,” katanya selepas meninjau keadaan banjir di daerah ini termasuk singgah melawat PPS di Balai Raya Kampung Tandong di Buloh Kasap, di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Ismail Sabri turut percaya banyak bantuan lain akan diterima seperti kelengkapan dapur, tilam, pakaian dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan segera RM5 juta bagi pembinaan ban di Kampung Spang Loi, Batu Anam di sini melibatkan naik taraf ban sedia ada sepanjang 1.5 kilometer.

Peruntukan itu juga bagi meninggikan ban itu daripada  5.2 meter menjadi 6.2 meter bagi menampung air banjir yang meningkat berbanding masa direka bentuk sebelum ini.

“Saya sudah dengar pembentangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jika nak elak banjir berterusan di Segamat, ban baharu perlu dibina supaya ketinggian dapat dinaikkan.

“Ban yang pecah di Segamat berikutan ia tak dapat menampung jumlah air yang terlalu besar, oleh itu saya luluskan peruntukan RM5 juta supaya ban baharu dapat dibina segera sebagai pelan jangka panjang kurangkan banjir di daerah ini,” katanya.

Selain itu, kerajaan akan memberi fokus menyelesaikan isu banjir di kawasan atau negeri yang berdepan isu banjir yang mendesak serta kritikal.

“Kawasan seperti Segamat di Johor, Temerloh di Pahang serta Kelantan kita akan fokus untuk selesaikan isu banjir kerana terdapat keperluan mendesak. Selepas itu, kerajaan akan menyelesaikan isu banjir di kawasan dan negeri lain seluruh negara,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

56  +    =  61