Pasangan cuba rempuh polis ditahan

 Pasangan cuba rempuh polis ditahan

KUALA LUMPUR, 10 Mac — Bagai aksi dalam filem Hollywood, seorang anggota polis terpaksa berpaut pada bonet kereta sejauh kira-kira 150 meter setelah pemandunya bertindak memecut kenderaan ketika polis ingin melakukan pemeriksaan, dalam kejadian di Bandar Baru Bangi, malam tadi.

Detik cemas di kawasan letak kereta sebuah restoran makanan segera di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, berjaya dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan memaklumkan, kejadian berlaku pada kira-kira 10.30 malam semasa sepasukan anggota polis ingin melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang mencurigakan, diparkir di kawasan itu dalam keadaan enjin yang masih hidup.

“Anggota polis menyuluh serta mengetuk cermin kenderaan itu sebelum mendapati terdapat seorang lelaki dan perempuan di dalamnya. Bagaimanapun setelah menyedari kehadiran polis, pemandunya cuba melanggar anggota polis itu serta motosikalnya dalam cubaan melarikan diri.

“Keadaan itu memaksa anggota polis berkenaan melompat di atas bonet kenderaan jenis Perodua Alza dan terpaksa berpaut dalam keadaan kenderaan dipandu laju sejauh lebih kurang 150 meter sebelum mangsa terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, katanya anggota polis itu hanya mengalami cedera ringan, sementara kenderaan itu berjaya melarikan diri ke arah Jalan Persiaran Jaya, Bandar Baru Bangi.

Berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan, kedua-dua suspek berjaya ditahan tidak lama kemudian dan mereka disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan melulu.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 307 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan  kerana menghalang tugas polis, cubaan membunuh dan mencederakan penjawat awam.

Zaid berkata motif sebenar pemandu itu melarikan diri semasa pemeriksaan dilakukan masih disiasat.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +    =  12