Pasangan 7 anak diuji sakit serius

 Pasangan 7 anak diuji sakit serius

Mohd Sayeed Haron dan keluarga menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ)

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Hasrat pasangan suami isteri untuk memulakan perniagaan menjahit pakaian dan menjual makanan sebagai sumber pendapatan bagi membesarkan tujuh anak tidak kesampaian apabila mereka diuji dengan masalah kesihatan.

Mohd Sayeed Haron, 56, menghidap sakit jantung dan darah tinggi, manakala isterinya, Rahimah Sabtu, 46, disahkan menghidap kanser payu dara tahap tiga sejak November lalu.

Mohd Sayeed yang sudah tiga bulan tidak bekerja kian resah kerana memerlukan kira-kira RM1,200 sebulan untuk menampung perbelanjaan anak-anak berusia antara satu hingga 18 tahun selain melunaskan bil utiliti serta komitmen lain. Pada masa ini, perbelanjaan harian keluarganya bergantung dengan duit simpanan peribadi serta caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), manakala isterinya suri rumah sepenuh masa.

Beliau tiada sumber pendapatan lain selepas mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pemandu lori pada September lalu atas faktor kesihatan.

“Saya terpaksa berhenti kerja bila tidak lagi boleh buat kerja berat. Pernah sekali saya hampir pitam ketika sedang memandu lori. Oleh sebab itu, saya buat keputusan berhenti kerja,” katanya.

Selepas berhenti kerja, mereka bercadang mengambil upah menjahit pakaian dan menjual sarapan sebagai mata pencarian. Namun, dugaan berganda apabila isterinya disahkan menghidap kanser payu dara dan menjalani pembedahan pada November lalu.

“Dalam masa sama, jantung bengkak saya pula menjadi-jadi sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital. Pernah juga kami masuk wad serentak dan terpaksa minta tolong adik ipar menjaga anak-anak di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, Tampoi, semalam.

Mohd Sayeed adalah bekas pekerja Utusan Malaysia. Beliau tidak pernah menerima sebarang bantuan mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan melainkan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), baru-baru ini.

Beliau dalam proses memohon bantuan pembiayaan hospital dan perubatan di bawah skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (MySalam) untuk isterinya yang perlu menjalani rawatan kimoterapi pada Mac depan.

“Kalau diikutkan, buat masa sekarang perniagaan kami sudah mula beroperasi kerana barangan kelengkapan dan peralatan mesin jahit, tempat menjahit dan lain-lain sudah disediakan. Kita hanya mampu merancang, Allah SWT yang tentukan dan kami reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd Sayeed menerusi talian 010-7983536 atau terus menghulurkan sumbangan ke dalam akaun Public Bank miliknya bernombor 6813222015.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

96  −    =  93