PAS Melaka elak pertembungan tiga penjuru

 PAS Melaka elak pertembungan tiga penjuru

Pesuruhjaya PAS Melaka Datuk Kamarudin Sidek

AYER KEROH, 2 Nov — PAS Melaka bersedia menarik diri sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di satu-satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Memetik laporan portal Melaka Hari Ini, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Kamarudin Sidek berkata, pihaknya akur dengan keputusan PAS Pusat yang memutuskan penggunaaan logo Perikatan Nasional (PN) pada PRN itu.

Tambah beliau, PAS Melaka akan cuba mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

“PAS Melaka akur kerana PN sudah didaftarkan sebagai sebuah parti politik, manakala Muafakat Nasional (MN) pula tidak didaftarkan.

“Tetapi PN dan BN (Barisan Nasional) sepakat satu lawan satu, tiada pertembungan kerusi. Jika berlaku juga (pertembungan kerusi), PAS akan mengambil sikap menyokong penyandang kerusi yang menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya.

Semalam media melaporkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung di pejabat Agung PAS Pusat telah meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Katanya, ketetapan itu dibuat setelah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama’ PAS yang bersidang pada 31 Okt selaras peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  37  =  42