Pas Johor kemuka empat cadangan hayati Perlembagaan

JOHOR BAHRU, 16 Jun – Sensiviti terhadap agama semakin terhakis dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini.

Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin

Justeru, Pas Johor mengemuka empat cadangan dalam usaha menghayati Perlembagaan supaya sensiviti terhadap agama dapat dipupuk dan dipertingkatkan.

Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, perkara pertama ialah dengan menjadikan Perlembagaan subjek dalam pendidikan sekolah rendah dan menengah.

“Kedua, perkara-perkara penting dalam Perlembagaan Negara dijadikan dokumentari yang sering diulang siar dalam radio dan televisyen milik kerajaan serta dipaparkan di papan iklan di simpang-simpang jalan.

“Ketiga menganjurkan lebih banyak program terbuka seperti forum dan wacana yang memahamkan kandungan Perlembagaan Negara, manakala yang keempat mengenakan hukuman lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan isu-isu sensitif seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas kes pergaduhan terkini di Selangor antara penghantar makanan dan seorang lelaki yang juga pelanggan berkaitan isu agama sehingga menjadi tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Rusman berkata, sejak kebelakangan ini isu penghinaan terhadap agama Islam semakin menjadi-jadi dan Pas Johor menyarankan pihak berkuasa memandang serius perkara itu serta bertindak tegas bagi memastikan isu penghinaan agama dapat dibendung.

“Islam Agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan dengan aman. Ini termaktub dalam Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Negara. Sensiviti agama bukan barang mainan.

“Islam mengajar umatnya untuk menghormati agama lain bahkan jika dalam peperangan sekalipun, Islam melarang serangan terhadap rumah ibadat agama lain dan mereka yang berlindung di dalamnya,” katanya.

Menurutnya, keamanan dan kehormonian negara mesti terus dijaga sreta dipelihara dengan setiap pihak saling menghormati budaya dan agama di negara ini.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  6