Parlimen perlu dibuka untuk bantu rakyat, bukan politiking

 Parlimen perlu dibuka untuk bantu rakyat, bukan politiking

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Keputusan Persidangan Khas Raja-Raja Melayu pada Rabu lalu jelas menunjukkan bahawa parlimen perlu dibuka semula bagi membantu rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Dibandingkan negara lain, Malaysia masih mengawal ketat pergerakan dalam negara menerusi pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di samping penutupan sektor ekonomi dan sosial, sektor pentadbiran termasuk parlimen juga dihadkan atau ditutup. Namun, sesi parlimen perlu dibuka segera bagi membantu rakyat dalam memerangi wabak yang sudah lebih setahun melanda negara.

Menurut Pengamal Undang-Undang, Rizal Abdullah berkata parlimen perlu dibuka supaya wakil rakyat dapat mencari jalan penyelesaian mengenai isu wabak yang bukan sahaja mengancam nyawa, tetapi juga meruntuhkan ekonomi.

“Parlimen perlu dibuka supaya dapat membincangkan serta menyelesaikan isu yang melanda rakyat pada waktu yang susah ini. Namun jangan pula politiking dan bergaduh sesama sendiri.

“Masih banyak lagi yang boleh diperbaiki dan diperkasakan oleh kerajaan. Kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang amat diperlukan bagi memastikan Malaysia menang lawan wabak ini,” katanya dalam Pentas Wacana: Titah Raja-Raja Melayu, Mengupas Dan Memahami, semalam.

Selain itu, beliau menyeru agar tiada pihak yang menuding jari sesama sendiri dan sebaliknya bersama-sama berjuang untuk menjayakan kemenangan lawan COVID-19.

“Ekonomi rakyat semakin bertambah teruk. Mereka ini hanya nak makan, ada di kalangan mereka yang tidak mempunyai duit untuk membeli susu anak. Bilangan orang yang membunuh diri turut meningkat sejak bermulanya wabak ini.

“Ini bukan soal kerajaan gagal atau sesiapa gagal. Kita kena bersama bantu rakyat, tanpa mengira parti. Kalau nak bergaduh, tunggulah selepas krisis ini berakhir,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik , Dato’ Zaharin Yassin berkata kerajaan perlu peka dan prihatin terhadap nasib rakyat, khususnya pada waktu yang sukar ini.

“Kerajaan perlu mengambil kira pandangan dan pencerahan di media sosial supaya dapat memperbaiki proses pemulihan negara,

“Parlimen perlu bersidang walaupun secara virtual supaya isu-isu serta pandangan boleh diketengahkan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu mencari solusi yang lebih efektif dalam melaksanakan undang-undang semasa pandemik ini.

“Selain SOP dan PKP yang mengelirukan, kerajaan juga perlu memperbaiki aplikasi MySejahtera yang dilihat tidak membantu serta tidak dikemas kini.

“Kerajaan jangan fikirkan kompaun sahaja. Kita mesti mendidik dan menjelaskan kepada rakyat betapa pentingnya perjuangan menentang COVID-19,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

78  −    =  74