Paris Sabah perlukan replika Menara Eiffel

 Paris Sabah perlukan replika Menara Eiffel

Sungai Tekala di Paris, Kinabatangan boleh diijadikan tarikan pelancong seperti Sungai Seine di Perancis. Foto WMY/Mohd Azrone Sarabatin

KINABATANGAN, 19 Jun – Jika disebut Paris, pasti terbayang Menara Eiffel dan Sungai Seine di ibu negara Perancis yang terkenal dengan jolokan kota cinta dan kota fesyen.

Bandung di Pulau Jawa, Indonesia yang terkenal sebagai destinasi pelancongan tanah tinggi dan tempat membeli belah popular dalam kalangan rakyat Malaysia pula diberi jolokan `Paris Van Java’.

Tidak ramai yang tahu sebenarnya di Sabah pun wujud `Paris’ yang terletak di laluan Kinabatangan dan Lahad Datu, walaupun namanya terlalu asing di negara ini.

Paris, Kinabatangan dikatakan mendapat nama daripada syarikat pembalakan terbesar yang pernah beroperasi Kinabatangan iaitu ‘Feerest’ dan disebut Paris oleh masyarakat setempat. Foto WMY/Mohd Azrone Sarabatin

Terdapat tiga versi mengenai asal usul nama `Paris Sabah’ termasuk dikatakan diberikan seorang pegawai kanan British pada zaman kolonial berikutan kedudukan kampung itu dikelilingi empat sungai yang mengalir ke Sungai Kinabatangan seolah-olah Sungai Seine di Paris.

Versi kedua pula bersempena syarikat pembalakan terbesar yang pernah beroperasi di situ iaitu ‘Feerest’ dengan penduduk tempatan menyebutnya `Paris’, manakala ketiga akronim ‘Perkampungan Anak Rakyat Islam Sabah’ atau Paris.

Paris di Negeri di Bawah Bayu sebenarnya bukanlah metropolis terkenal seperti Paris di Perancis atau Bandung Van Java kota pelancongan terkenal di negara jiran, sebaliknya ia hanyalah sebuah mukim meliputi tujuh kampung iaitu Kampung Paris 1, Paris 2, Paris 3, Koyah A, Koyah B, Koyah Bersatu dan Sri Tekala.

Penulis berswafoto di `Paris Sabah, Kinabatangan. Foto WMY/Mohd Azrone Sarabatin

Bekas Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paris 2, M Reman Siding, berkata Mukim Paris didiami masyarakat berbilang kaum dan agama yang hidup harmoni dan saling menghormati.

Sebab itulah katanya, selain wujud beberapa buah masjid ada sebuah gereja di Paris 2.

Katanya, kira-kira 95 peratus penduduk di mukim berkenaan beragama Islam berbangsa Sungai dan Bugis, manakala selebihnya penganut Kristian berbangsa Kenyah, satu daripada suku kaum dari Sarawak yang berhijrah ke Sabah semasa perkampungan itu diliputi hutan dan operasi pembalakan masih aktif.

Beliau sependapat dengan Ketua Kampung Mukim Paris, Sarip Mislin Sh Bakir, bahawa kampung itu yang wujud pada 1976 diambil bersempena syarikat pembalakan terbesar yang pernah beroperasi di situ iaitu ‘Feerest’ dengan penduduk awal ketika itu seramai 145 orang.

“Mengikut Sarip Mislin yang juga antara pengasas kampung ini, kebanyakan penduduk terawal adalah bekas pekerja kem pembalakan di Sungai Pin dan Sungai Tenagang, yang juga antara cabang Sungai Kinabatangan.

Anjung Paris antara pembangunan di kawasan Kampung Paris 3 yang menempatkan restoran dan pusat pengiriman wang. Foto WMY/Mohd Azrone Sarabatin

“Selepas lebih 45 tahun diwujudkan, kampung itu kini mempunyai lebih 5,000 penduduk dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah, bekalan air, elektrik dan beberapa prasarana lain,” katanya kepada Wacana.my, di sini.

Jika Sungai Seine menjadi nadi Paris, Mukim Paris pula di kelilingi empat sungai iaitu  Sungai Koyah, Sungai Pin, Sungai Tekala dan Sungai Tenagang.

Walaupun penulis sudah menjejaki Paris di Perancis dan Bandung yang terkenal jolokan Paris Van Java, lebih sedekad lalu, namun kali pertama menjejaki `Paris Sabah’ walaupun ia hanya terletak di tepi jalan besar dari Kota Kinabalu ke Tawau atau Semporna.

M Reman yang juga bekas Pengerusi JKK Kampung Koyah A berharap pemimpin kampung itu mewujudkan replika Menara Eiffel di salah sebuah sungai di Mukim Paris sebagai mercu tanda kampung itu.

“Ini kerana kewujudan mercu tanda itu akan menarik minat pelancong untuk bergambar atau `berswafoto’ yang sekali gus memperkenalkannya bukan saja ke serata pelusuk tanah air, malah seluruh dunia.

“Suatu hari nanti kita mahu bila disebut Sabah atau Kinabatangan, pelancong akan menyebut `Paris Sabah’,” katanya.

Mohd Azrone Sarabatin

Azrone@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =