Paralimpik: Ziyad janji hadiahkan emas di Hari Kemerdekaan

 Paralimpik: Ziyad janji hadiahkan emas di Hari Kemerdekaan

KUALA LUMPUR, 31 Ogos —  Penyandang rekod dunia dan Sukan Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli sudah tidak sabar untuk turun mempertahankan kilauan pingat emas diraihnya pada edisi di Rio lima tahun lalu.

Ziyad yang dijadual beraksi dalam acara lontar peluru F20, tentunya menjadi pertaruhan memenangi emas di Stadium Olimpik, apatah lagi pada hari bersejarah negara, Hari Kemerdekaan.

Di Rio 2016, Ziyad memecah rekod temasya dengan jarak catatan baharu 16.84 meter (m) untuk meraih emas sekali gus memadam rekod milik atlet Australia, Todd Hodgetts.

Bagi penampilan ketiganya kali ini, semangat Ziyad tidak pernah padam untuk melakar sejarah baharu di Tokyo lebih-lebih lagi acaranya berlangsung bersamaan dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Jurulatih skuad olahraga para kebangsaan, R Jaganathan berkata, Ziyad berada dalam keadaan 100 peratus bersiap sedia bagi menghadapi saingan yang turut bakal disertai pencabar utama dari Ukraine, Maksym Koval.

Koval berjaya meraih emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia yang berlangsung di Dubai pada 2019 dengan catatan 17.11m, manakala Ziyad berada di tempat kedua, 17.03m.

Pemenang pingat gangsa ketika itu, Efstratios Nikolaidis dari Greece yang melakukan 16.61m turut berada dalam senarai lapan peserta final di Tokyo, hari ini bersama Hodgetts.

Bagaimanapun, Jaganathan yakin anak buahnya itu mampu menghadiahkan kilauan emas kedua buat kontinjen negara selepas jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin meraih emas sulung, Sabtu lalu.

“Secara fizikal dan mentalnya, Ziyad sudah bersedia. Dia tenang, hanya menunggu hari pertandingan saja dan dia akan buat yang terbaik esok.

“Dia tak berada dalam tekanan, dia berlatih dengan gembira dan bagi saya, dia akan menghadiahkan pingat emas, melakukan yang terbaik dan mencatat catatan peribadi terbaiknya.

“Setakat ini, Malaysia sudah meraih satu emas dan satu perak, jadi Ziyad akan meraih pingat emas kedua esok,” kata Jaganathan mengenai anak didiknya itu yang mencatat rekod dunia 17.29m di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

27  −  20  =