Pangsapuri di Permas Jaya retak, tebing tanah runtuh 

 Pangsapuri di Permas Jaya retak, tebing tanah runtuh 

Hassan (depan tengah), Syed Othman dan Vivian meninjau kawasan tebing runtuh berhampiran Pangsapuri di Jalan Permas, Permas Jaya, Johor Bahru

Oleh Nurman Nasyriq
JOHOR BAHRU, 7 Mac: Keselamatan penghuni sebuah pangsapuri di Permas Jaya di sini, terancam apabila struktur bangunan itu dikesan retak akibat tebing tanah berhampiran runtuh.
Pangsapuri di Jalan Permas, Permas Jaya itu dikesan retak kesan tebing tanah berhampiran terhakis dan runtuh enam bulan lalu. Turut terhakis ialah kawasan pagar tempat letak kereta pangsapuri tersebut.
Pengerusi persatuan penduduknya, Vivian Tan berkata, keadaan itu berlaku sejak September lalu akibat hujan lebat  dan  kedalaman kawasan hakisan itu dianggarkan hampir empat meter.
“Apa yang lebih membahayakan lokasi tebing juga berhampiran selekoh jalan utama, sekali gus boleh membahayakan nyawa orang ramai.
“Insiden tebing runtuh ini adalah kali kedua berlaku selepas yang pertama pada 2014. Akibat runtuhan ini, luar pagar tempat letak kereta dan beberapa struktur luar bangunan mulai retak.
“Bukan itu sahaja, kita dapati ada tiga lubang di sekitar pagar luar pangsapuri ini dipercayai kesan daripada hakisan tanah,” katanya ketika ditemui di kawasan tebing runtuh itu, di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; dan Penyelia Pusat Aduan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah .
Katanya, masalah di  pangsapuri itu yang berusia 23 tahun sudah diajukan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebelum penghadang diletakkan namun selepas itu tiada tindakan susulan.
“Kami berharap pihak MBJB dapat mengambil tindakan segera bagi mengelak perkara tidak diingini kerana kita lihat tanah semakin mendap,” katanya.
Sementara itu, Hassan berkata, pihaknya tidak mahu satu lagi kejadian seperti di Highland Towers berulang.
“Ini masalah rakyat, saya tidak mahu menimbulkan kebimbangan tetapi kita tidak mahu jadi seperti Highland Towers berlaku di sini. Sebab ada longkang di bawah tebing. Jadi ia melibatkan sistem bawah tanah yang mana ia masalah serius,” katanya.
Sehubungan itu, beliau akan membawa isu berkenaan kepada pihak MBJB, kerajaan negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memastikan tindakan segera diambil.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3  +  3  =