Panggilan video, rendang pos pengubat rindu perantau

 Panggilan video, rendang pos pengubat rindu perantau

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 meruntun perasaan terutama perantau di ibu kota dan luar negara yang tidak dapat pulang ke pangkuan ibu bapa serta sanak saudara sempena Aidilfitri ini.

Dengan jumlah kes yang mencecah empat angka setiap hari, pengumuman ini bagai sudah dijangka dan sedikit sudah bersedia menerima keputusan tersebut.

Menurut Muhamad Hazwan Hairi, 26, beliau amat sedih dengan pengumuman yang dibuat itu walaupun sudah menjangka ianya akan berlaku berdasarkan jumlah kes baru dan aktif COVID-19, terutamanya di Selangor.

Hazwan Hairi

Beliau yang bekerja sebagai pengurus tapak binaan di ibu kota turut berkata, perkembangan ini bagaikan sejarah yang berulang apabila beliau tidak dapat pulang beraya bersama ibu bapa seperti ketika PKP 1.0 tahun lalu.

“Tahun ini merupakan kali kedua saya tak dapat pulang ke Teluk Intan, Perak. Pada Aidilfitri lepas, saya menyambut berseorangan di dalam bilik. Apabila mendengar takbir raya, hanya Tuhan sahaja tahu betapa sayunya hati ketika itu.

“Bagi mengubati rindu, saya hanya mampu membuat panggilan video sambil makan lauk rendang yang mereka hantar melalui pos,” katanya kepada Wacana.my.

Pada masa sama, Hazwan kecewa dengan sikap segelintir individu yang enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikesan berlaku dari masa ke semasa.

“Jika semua orang patuh kepada SOP sehingga pandemik ini benar-benar hilang, saya yakin semua orang dapat menyambut hari raya bersama keluarga tersayang.

“Bagaimanapun, hidup mesti diteruskan. Saya reda dengan apa sahaja keputusan yang dibuat kerajaan dan anggap semua ini sebagai ujian seorang perantau,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd Asyraf Yusof, 29, tahun ini adalah kali pertama beliau tidak dapat beraya bersama isteri dan keluarga tercinta

Mohd Asyraf Yusof

kerana bekerja di Singapura.

“Apa yang lebih menyedihkan adalah saya baru sahaja berkahwin pada Disember lepas. Jadi impian untuk beraya bersama isteri buat pertama kali terpaksa ditangguhkan.

“Saya hanya mampu membuat panggilan video bersama isteri setiap hari bagi menghilangkan rindu. Ibu bapa saya juga telah menghantar set lengkap dan rendang daging melalui pos untuk Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun, beliau yang bekerja sebagai juru ukur tanah untuk syarikat Mass Rapid Transit (MRT) Singapura turut menyatakan syukur bahawa terdapat ramai lagi pekerja Malaysia yang senasib dengan dirinya.

Tambahnya, walaupun tidak dapat beraya bersama isteri dan ibu bapa, sunyi itu mungkin berkurangan kerana dapat beraya bersama kawan-kawan yang senasib dengannya.

Menurut Mohd Asyraf, peluang untuk pulang ke tanah air sentiasa terbuka menerusi perjanjian Periodic Commuting Arrangement (PCA) yang dibuat oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.

“Menurut perjanjian PCA, kami boleh sahaja balik ke Malaysia tetapi setiap pemohon perlu membayar sekitar SGD2,000 hingga SGD3,000 selain mempunyai proses yang mengambil masa berbulan.

“Bagi saya ini adalah jihad dan pengorbanan yang perlu dibuat bagi menjamin rezeki untuk keluarga tercinta. Biarlah saya hadapi ujian berat ini jika ia mampu meringankan beban keluarga,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

94  −  89  =