Pandemik atau endemik, jawapannya tetap vaksin

 Pandemik atau endemik, jawapannya tetap vaksin

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Setelah lebih dua tahun dunia berdepan dengan pandemik COVID-19, Menteri Penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata virus itu mungkin akan kekal dalam komuniti sebagai endemik.

Selain itu menurut Khairy, berdasarkan data yang ada padanya, COVID-19 mungkin akan bermutasi kepada variant yang “kurang mengancam masyarakat tetapi akan berada di kalangan kita untuk masa yang lebih lama”.

Menjawab soalan di dalam satu temubual, Khairy berkata, sehubungan itu program imunisasi mungkin akan diteruskan dan dijadikan sebuah program tahunan sepertimana vaksin flu yang diamalkan di negara lain.

Beliau menambah bahawa, Malaysia kini telah memperoleh vaksin COVID-19 bagi memenuhi keperluan lebih 130% rakyat, dan lebihan bekalan ini mungkin dapat digunakan sebagai dos “booster” bagi mereka yang telah divaksinasi pada peringkat awal dahulu.

Wacana.my telah menghubungi pakar perubatan Dr Ariff Imran untuk mendapatkan penjelasan.

Beliau berkata, istilah ‘pandemik’ merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata.

“Pandemik bermula apabila berlaku penularan wabak secara meluas sehingga tidak dapat dikawal dan mampu membunuh ramai orang dalam masa singkat,” katanya.

Berbeza dengan pandemik, istilah ‘endemik’ merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu.

Antara pandemik yang pernah dicatatkan adalah wabak Antonine, wabak Jusne serta ‘The Black Death’ yang dipercayai membunuh puluhan juta orang di seluruh dunia sekitar abad ke-14.

Sementara endemik yang tercatat dalam sejarah termasuk penyakit demam kuning dan malaria di Congo; wabak bubonik di Madagascar; dan wabak demam kuning, malaria dan demam denggi di Peru.

Dr Ariff turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terkeliru dengan terma-terma teknikal atau situasi jangka panjang yang terlalu jauh, sebaliknya terus menumpukan usaha mendapatkan vaksinasi dengan segera untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat.

Bagi menjelaskan konsep ‘imuniti kelompok’, laman web Ketua Pengarah Kesihatan (https://kpkesihatan.com/2016/06/27/imuniti-kelompok-herd-immunity/) berkata imuniti kelompok atau ‘herd immunity’ adalah keadaan di mana sebuah agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau menyebar di kalangan suatu kelompok masyarakat oleh kerana sebahagian besar daripada anggota masyarakat tersebut mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan tersebut.

Cara terbaik mencapai imuniti kelompok adalah melalui vaksinasi seperti yang sedang rancak dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kini.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

45  −  41  =