Pandai memandai jujur terkujur

 Pandai memandai jujur terkujur

Orang ramai masih mengambil kesempatan bersiar-siar tanpa tujuan penting pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri meskipun kerajaan telah mengarahkan orang ramai untuk kekal berada di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0

Oleh Irwan Abd Rahman

Kita ni memang pandai. Terror. Dah kira tahap genius. Dalam dunia ni, susah nak jumpa otak geliga macam kita. Tak kira apa pun life ni nak kasi, kita boleh lifehack. Memang dahsyat.

Nak bukti? Tengok saja dekat mall-mall dan tempat-tempat lepak sekarang. Walau apa pun kerajaan kita yang sedang tercungap-cungap tu nak cuba buat, kita dengan mudah je boleh tangkis, boleh elak, sambil gelak. Mall sesak. SOP koyak.

Nak buat PKP? Apa ke hal? S-O-Puiii

Tak boleh ziarah raya? Kita jumpa di pasar raya!

Boleh dating, boleh salam peluk cium bermaaf-maafan, bertepuk bertampar, jumpa orang tua dan sahabat handai. Bak kata orang Kedah, takdak haii. Dah pakai baju baru vass gittew, dengan backdrop hiasan raya yang mall dah memang siapkan, lagi la lawa nak ambik gambar. Bodoh punya kerajaan, senang aje kita nak game.

Tak boleh kunjung mengunjung? Suruh duduk dalam rumah? Lu siapa? Piigi-rah.

Nak periksa rumah ke rumah? Nak check timbunan kasut kat luar pintu? Bawak aje la masuk! Nak tengok kereta parking banyak-banyak di luar? Parking jauh sikit. Tak pun, apa susah, naik Grab aje la…

Yang kena tangkap, kena kompaun tu, sebab dia orang tu bodoh. Siapa suruh letak dalam Facebook IG semua? Itu tak pandai. Bukan macam kita. Kita genius.

Dah la tu, kita ni gagah berani. Paling berani dalam dunia. Tak takut mati. Dari tempikan suara kita yang menggoncang musuh dekat dan jauh, sampailah ke tubuh badan kita yang kebal dan semangat yang kental. Kalah satu dunia. Facebook Israel Defence Forces yang menipu tu pun kita boleh troll sampai terduduk. Mana boleh lawan orang Malaysia. Kita pendekar.

Kes COVID dah naik 4 ribu sehari? Apa kita kisah? Bukan anak menantu kita pun. Rezeki masing-masing. Apa? 44 kematian semalam? Ah, itu dah masa diaorang. Lagipun, boleh ke kita percaya angka-angka yang kerajaan kasi hari-hari tu? Entah-entah semua tipu belaka. Fakta yang dah jadi auta. Vaksin? Itu propaganda Bill Gates dan agenda konco-konco bilionair sepertinya. Kita minum ubat kuat, telan kapsul magik, sapu krim akar kayu semua dah, vaksin dah tak perlu. Semua mainan politik yang diguna untuk cengkam hidup kita, untuk kelas kayangan nak kawal pergerakan kita golongan marhaen. Nama pun Perintah Kawalan Pergerakan, kan?

Kita ni kebal, dari keturunan pendekar. Jangan dicabar si anak jantan. Jangan dihina si srikandi. Dan jangan cuba nak bendung semangat rakyat yang keramat!

Dari dulu kita bebas, pandai dan gagah berani.

Tali pinggang keledar? Tak selesa. Kerusi keselamatan anak? Buat apa? Aku pegang budak tu kuat-kuat, pasti selamat. Topi keledar? Buat rosak remos rambut saja. Kacau tudung lawa yang dah seterika sampai licin. Nampak polis, baru sarung.

Lampu trafik berwarna merah? Tengok keliling, kalau tak ada kamera, jalan saja. Kalau ada yang terlanggar, kita gaduh sampai settle.

Tong sampah tak ada? Campak je plastik, kertas tisu, puntung rokok tu di mana-mana. Besok ada la si sapu jalan tu akan kutip dan buang. Nah, kita kasi hadiah ludah sekali, baru lengkap.

No smoking? Nah, aku hembus asap ni kat anak-anak kau, biar sama-sama merasa nikmat nikotin. Sedut dik, sedut.

Kena saman? Boleh buat rayuan. Takkan kerajaan nak zalimi rakyat!

Kena tegur? Nah, kita kasi buku lima sebiji, diam lah si pengawal rakyat asing kurang ajar tu. Dasar tak sedar diri, datang Malaysia, nak sound kita pulak.

Apa, kalau kita kena jangkit dek virus korona tu? Kalau kita masuk ICU? Kalau kita masuk paip mesin oksigen tu ke dalam lubang kerongkong? Kalau paru-paru kita penuh lendir sampai nak bernafas pun tak mampu?

Ish, kita anak jantan gagah berani. Apa nak takut? Ajal maut di tangan Tuhan. Virus tu pun ciptaan Tuhan jugak. Rilek la. Kita ni iman dah kuat, amal dah penuh, kalau mati sure masuk syurga! Anak-anak? Isteri suami, mak ayah, mereka-mereka yang tinggal? Not my problem. Pandai-pandai lah dia orang hidup. Tawakal. Kerajaan ada, mesti semua OK.

Apa? Nak kasihan kat doktor, jururawat semua? Buat apa? Bukan itu kerja diaorang? Kalau tak nak duduk hospital, jangan jadi doktor! Si abam askar, abam polis yang tengah panas terik jaga roadblock tu? Sama lah – itu kerja diaorang, jangan kacau kita, sudah. Lagipun, banyak lorong-lorong tikus kita boleh masuk – boleh lolos, macam bos! Kita jaga kita? Hey, kubur sendiri-sendiri lah!

Dah, dah! Raya kan sebulan? Tengok kiri, tengok kanan. Jom sambung beraya!

 

Tulisan di atas hanya satira semata-mata; pembaca menanggung risiko sendiri jika ingin mengikut ‘nasihat-nasihat’ ini.

 

 

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

33  +    =  37