Palestin sambut baik siasatan jenayah perang ICC

 Palestin sambut baik siasatan jenayah perang ICC

RAMALLAH, 4 Mac — Palestin pada Rabu menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague untuk menyiasat perlakuan jenayah Israel di wilayah Palestin.

Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki berkata negaranya mengalu-alukan  keputusan ICC untuk “meneruskan siasatan terhadap jenayah Israel, langkah yang dinanti-natikan sejak sekian lama bagi menuntut keadilan buat Palestin.”

“Kami berharap tindakan serius di peringkat antarabangsa dapat memberikan keadilan kepada mangsa Palestin,” kata al-Maliki dalam satu kenyataan, lapor Agensi Berita Xinhua.

Sementara itu, gerakan Islam Hamas juga memuji keputusan ICC.

Jurucakap Hamas di Semenanjung Gaza Hazem Qassem dalam satu kenyataan media berkata Hamas menyambut baik keputusan pendakwaraya ICC untuk membuka siasatan terhadap jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Keputusan itu adalah langkah ke depan untuk menghukum pemimpin (Israel) yang mengetuai pencerobohan dan menjadi dalang kepada jenayah perang terhadap rakyat kita.

“Hamas meminta ICC menolak tekanan yang mungkin akan timbul yang bertujuan menghalang usaha untuk mendapatkan keadilan dan melaksanakan undang-undang antarabangsa,” kata Qassem.

Pada Rabu, Ketua Pendakwaraya ICC Fatou Bensouda mengumumkan telah melancarkan siasatan terhadap tuduhan jenayah yang dilakukan Israel di wilayah Palestin.

“Siasatan akan merangkumi jenayah di bawah bidang kuasa mahkamah yang didakwa telah dilakukan sejak 13 Jun 2014, tarikh rujukan dibuat mengikut rujukan situasi itu ke pejabat saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah siasatan akan dilakukan “secara bebas, tidak berat sebelah dan adil tanpa rasa takut atau pilih kasih.”

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, mengecam siasatan ICC terhadap dasar-dasar Israel di wilayah Palestin, menuduh mahkamah “hipokrit dan anti-Yahudi” dan berikrar untuk “memperjuangkan kebenaran.”

Pada 2019, Bensouda berkata wujud “sebab-sebab munasabah” untuk membuka siasatan jenayah perang terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza dan juga aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  7