• Sunday, 20 June 2021, 11:41 am

Palestin dan umat Islam

 Palestin dan umat Islam
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

BUMI Palestin amat penting dari segi fizikal dan spiritualnya kepada umat Islam. Kepentingannya juga mempunyai hubungan dengan kesucian bumi ini dan sejarahnya dalam konteks perutusan para Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membawa rahmat dan kesejahteraan kepada manusia dan dunia ini.

Al-Quran menyatakan tentang para Nabi yang turun dan mendiami bumi suci Palestin ini dengan jelasnya iaitu seperti Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaaqub, Yusuf, Salih, Daud, Sulaiman, Isa dan para nabi lain lagi.

Nabi dan Rasul terakhir, Muhammad SAW, nabi junjungan kita, telah diberikan penghormatan yang amat mulia oleh Allah SWT dengan pengembaraannya ke bumi suci ini dan persinggahannya pada waktu malam Israknya di masjid Al-Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui Baginda dalam satu peristiwa mukjizat yang besar seperti yang disebutkan di dalam al-Quran:

“Maha suci Allah yang telah membawa hamba-Nya berjalan pada malam hari dari Al-Masjid Al-Haram ke Al-Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari bukti-bukti (kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.” (Al-Isra’ ayat 1)

Masjid Al-Aqsa yang terletak di bumi Palestin adalah kiblat pertama umat Islam. Ia juga merupakan satu masjid suci, di samping Masjid Al-Haram di Makkah dan Masjid Al-Nabawi di Madinah. Umat Islam kini bebas melawat dan beribadah di kedua-dua buah masjid yang terletak di bumi Saudi, di Makkah dan Madinah. Tetapi amat malang sekali sebuah masjid suci yang merupakan kiblat pertama iaitu Masjid Al-Aqsa, kini terletak di bawah kekuasaan regim Israel yang terkutuk itu selepas kekalahan Arab dalam peperangan lima hari dalam Jun 1967.

Rakyat asal Palestin terpaksa lari merempat ke negara lain manakala regim Israel membuka pintu seluas-luasnya kepada orang Yahudi untuk berhijrah masuk ke tanah Palestin

Sejak penaklukan Zionis pada Jun 1967, pihak Zionis telah melakukan berbagai aktiviti yang merosakkan Masjid Al-Aqsa. Hanya beberapa hari sahaja selepas penaklukannya, pihak mereka telah merobohkan dinding Al-Magharibah di sebelah barat Masjid dan diratakan untuk menjadi tempat ibadat orang Yahudi.

Dalam usaha untuk menemukan bukti sejarah tentang kehadiran Kuil Sulaiman (Solomon’s Temple) di kawasan utara dan barat kota Baitul-Maqdis, mereka telah menjalankan kerja-kerja mengali dan pembongkaran yang besar di kawasan itu. Namun, mereka tidak menemui bukti yang mereka cari itu, malah bukti sejarah yang mereka temui menunjukkan bahawa bandar dan kota ini adalah kota suci Islam.

Sekurang-kurangnya terdapat tiga faktor yang menjadikan Palestin amat penting kepada umat Islam. Iaitu, kesucian Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama, kedua kerana kekejaman hebat yang dilakukan oleh regim Israel dan gerakan Zionis antarabangsa yang dilakukan terhadap umat Arab dan Islam, yang ketiga ialah serangan mental dan fizikal yang dilakukan oleh regim tersebut dan gerakan Zionis antarabangsa di Amerika Syarikat dan Eropah sehingga mereka telah berjaya memecah belahkan tanah Palestin dan rakyatnya serta umat Islam seluruhnya.

Rakyat Palestin sentiasa mempunyai bersemangat juang yang tinggi meskipun ramai yang terkorban akibat kekejaman Zionis

Negeri Zionis ditubuhkan pada 14 Mei 1948 di atas sekeping tanah yang kecil sahaja. Tetapi mereka telah merampas tanah Palestin dengan kadar 77 peratus dan mengusir kira-kira 800,000 penduduk Palestin menjadi pelarian perang, iaitu ketika mereka memenangi peperangan dengan Arab yang lemah dan tidak punya kepimpinan itu di antara tahun 1948 hingga 1967.

Dalam peperangan dengan Arab pada Jun 1967, baki tanah Palestin telah dirampas. Ini termasuk Tebing Barat, Timur Jerusalem dan Genting Gaza. Regim ini juga telah menakluki Pergunungan Golan (1,150 km persegi) dari Syria, dan Semenanjung Sinai (61,198 km persegi) dari Mesir. Akibatnya, kira-kira 300,000 lagi rakyat Palestin menjadi pelarian perang dan terpaksa meninggalkan tanah air mereka. Tetapi Sinai telah dikembalikan kepada Mesir ketika Mesir memenangi peperangan dengan Israel pada 1974, dengan beberapa syarat yang diletakkan kepada mereka, termasuk perjanjian damai dengan Israel dan bantuan kewangan dari sekutu Israel, Amerika Syarikat.

Ketika rakyat asal Palestin terpaksa lari merempat ke negara lain, regim Israel membuka pintu seluas-luasnya kepada orang Yahudi untuk berhijrah masuk ke Israel, dan mengikut perangkaan yang pernah dicatatkan terdapat kira-kira 2.8 juta Yahudi telah berhijrah ke Palestin di antara 1949 – 2000.

Kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin, membuka peluang kepada regim Israel untuk mengukuhkan lagi penindasan mereka terhadap Palestin dan rakyatnya. Ini kerana mereka melabelkan Hamas sebagai golongan radikal dan jihad Islam. Tambahan pula Hamas mempunyai kaedah perjuangan yang berbeza dari Fatah, dan berkonflik pula dengan Fatah, sehingga akhirnya Palestin mempunyai dua kerajaan dengan dua Perdana Menteri, Fatah menguasai Tebing Barat dan Hamas menguasai Genting Gaza.

Tentera Hamas sentiasa digeruni Zionis kerana berjuang kerana Allah mempertahankan Palestin dan agama Islam

Pada 2005, Israel sekali lagi bermain sandiwara, iaitu mengundurkan tentera dan rakyatnya dari Gaza, supaya Gaza menjadi kawasan penduduk Palestin sepenuhnya. Namun kemudiannya ternyata bahawa Gaza telah menjadi penjara terbuka yang besar bagi rakyat Palestin, kerana lautan dan ruang angkasanya dikuasai oleh Israel.

Sejak itulah Gaza diserang, dibom dengan pelbagai senjata yang membunuh dan mencederakan penduduknya yang tidak berdosa. Dan, akhirnya mereka dikenakan sekatan yang amat ketat sekali, menyebabkan rakyatnya menderita kelaparan, ketandusan, terputus bekalan air dan elektrik. Hal inilah yang mendorongkan para sukarelawan dari negara kita dengan disertai oleh sebilangan sukarelawan lain untuk membantu dan menolong rakyat yang menderita itu atas nama kemanusiaan.

Atas dasar ini, saya merasa bahawa amatlah wajar Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel, dan mengharamkan rakyat kita dari melawat negara tersebut yang dianggap sebagai musuh kemanusiaan, musuh agama dan musuh negara demokrasi seluruhnya. Malah kita mengharapkan bahawa kerajaan kita akan tetap berpegang kepada dasar ini selagi Israel tidak memberikan hak yang adil kepada rakyat Palestin itu.

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia dan mantan Ketua Pengarah IKIM.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *