Paksa RELA? Nama didaftar sebagai ahli tanpa pengetahuan

 Paksa RELA? Nama didaftar sebagai ahli tanpa pengetahuan

Gambar hiasan — Anggota RELA membantu orang ramai yang hadir pada proses pemberian vaksin di Kuching baru-baru ini

Oleh Suraya Ali

SHAH ALAM, 16 Jun —  Seorang peniaga disini membuat laporan polis setelah mendapati nama beliau didaftarkan sebagai ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tanpa pengetahuannya.

Mohd Affendi Abdullah, 36 berkata beliau mendapat tahu tentang masalah itu setelah menyemak sendiri namanya di laman web RELA.

“Mulanya saya menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp dari rakan-rakan mengenai perkara itu.

“Saya terus membuat semakan sendiri dan mendapati nama saya tersenarai sebagai ahli RELA sejak 2011 sedangkan saya tidak pernah berdaftar dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Wacana.my hari ini.

Tambah Mohd Affendi, walaupun menjadi sukarelawan merupakan satu perkara yang terpuji, beliau membuat laporan polis kerana bimbang data peribadinya yang telah disalahguna.

“Adakah pihak lain telah mengaut keuntungan dari data peribadi saya? Di mana lagi data saya disalahguna? Itu kebimbangan saya,” katanya.

Sementara itu di Sabah, Astro Awani melaporkan seorang guru turut membuat laporan polis setelah mendapati namanya tersenarai sebagai anggota RELA tanpa pengetahuannya.

Menurut laporan, Darmawan Arsad berkata dia mengetahui perkara tersebut setelah membuat semakan bagi pendaftaran anggota RELA melalui satu pautan di media sosial.

Katanya, hasil semakan tersebut mendapati namanya telah berdaftar sebagai anggota RELA sejak tahun 2011 dan dia terkejut kerana dia tidak pernah membuat sebarang pendaftaran di mana-mana.

Namun setelah membuat semakan semula status pendaftaran secara dalam talian, Darmawan mendapati namanya sudah tidak ada dalam sistem.

“Keesokan paginya, saya telah pergi ke pejabat RELA berdekatan untuk membuat semakan dan mendapati nama saya sebenarnya masih ada sejak 2011 hingga kini,” katanya.

Menurut Darmawan, dia bimbang dengan keadaan tersebut dan telah membuat satu laporan polis bagi tindakan selanjutnya.

Laporan tersebut, katanya dibuat kerana dia bimbang jika namanya telah disalahguna oleh individu-individu tertentu untuk kepentingan yang tidak diketahui.

Dalam pada itu, Darmawan turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap data peribadi masing-masing agar tidak disalahguna oleh individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

41  −    =  38