Pakar ekonomi mahu kerajaan pertimbang laksana semula GST demi rakyat

 Pakar ekonomi mahu kerajaan pertimbang laksana semula GST demi rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Kerajaan perlu pertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) demi kebaikan rakyat.

Profesor Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Graduate School of Business, Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berpendapat GST merupakan sistem cukai yang menyeluruh dan adil.

Tambah beliau, GST dapat membantu meningkatkan pendapatan rakyat malah ia memberi manfaat kepada rakyat daripada segi penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik.

Prof Noor Azlan berkata terdapat banyak cara supaya GST dapat dilaksanakan semula, cukai tersebut dikutip mengikut wilayah di beberapa negara, ia bergantung kepada kekayaan wilayah berkenaan.

“Saya penyokong GST kerana saya yakin bahawa ia adalah sistem yang lebih menyeluruh atau lebih adil tetapi sudah tentu anda perlu memperkenalkannya dengan betul dan teratur serta menjelaskannya kepada orang ramai, memastikan mereka memahami dan melihat manfaatnya.

“Kebimbangan timbul apabila anda mengutip cukai tetapi orang ramai tidak mendapat manfaatnya,” katanya dipersidangan maya Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) semalam.

Menurut Prof Noor Azlan,  Jerman dan Finland merupakan negara yang memungut cukai antara 20 dan 30 peratus, namun kedua negara tersebut menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya.

“Apabila rakyat berpendidikan tinggi, kita semua mendapat manfaatnya, antaranya ialah kejadian jenayah,  dan pencemaran alam sekitar bekurangan serta rakyat menjadi lebih berdisiplin,” katanya.

Malaysia mengutip jumlah cukai lebih rendah berbanding negara-negara lain dan tidak setara dengan apa yang dijangka.

Dengan jumlah penduduk sekitar 32 juta dengan 15 juta tenaga kerja, namun hanya dua juta hingga tiga juta orang sahaja yang membayar cukai, ia tidak cukup untuk kerajaan memastikan kualiti kehidupan menjadi lebih baik untuk rakyat.

Selain itu, Prof Noor Azlan yang juga Pengarah Eksekutif Sekretariat EAC menyatakan lapan agenda, 30 bidang khusus dan 153 inisiatif ketika Malaysia akan memulakan Pelan Pemulihan Negara untuk membawa negara keluar daripada krisis pandemik COVID-19.

Antara lapan agenda itu ialah ekonomi digital; mempromosikan penggunaan dan kemajuan teknologi; kedudukan untuk peralihan landskap global serta mempromosikan tanggungjawab bersama.

Beliau turut berkata penemuan itu adalah sebahagian daripada kajian bebas dilakukan sekretariat EAC, ia sebenarnya tidak mendapat pengesahan oleh EAC.

Cadangan di bawah kajian itu bertujuan mengatasi cabaran dihadapi ketika ini dalam tempoh jangka pendek dan apa yang diperlukan negara bagi tempoh jangka sederhana dan panjang.

Prof Noor Azlan juga berkata kerajaan perlu melakukan perubahan dalam beberapa dasar bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang dan kemampanan negara.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  2  =