Pahat PAU 2020 berbunyi, PN fokus rakyat & stabilkan negara

 Pahat PAU 2020 berbunyi, PN fokus rakyat & stabilkan negara

Oleh Mohd Kamal Ahmad

RUMAH sudah siap, pahat masih berbunyi, demikian kisah dalam UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, apabila perhimpunan sudah selesai tetapi masih ada suara dan komen yang diluahkan terhadap pendirian serta sikap pemimpin tertentu parti itu.

Antara ‘bunyi pahat’ itu ialah kenyataan Naib Presiden MIC, Datuk C Sivaraajh yang menyifatkan tidak wajar kepemimpinan UMNO ‘menikam belakang’ rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan bertindak seolah-olah mampu menang semua kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula menganggap UMNO umpama ‘harimau kertas’ dan mendakwa ini adalah ekoran kelemahan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi walaupun menegaskan, UMNO bertekad bergerak solo – No PPBM, No Anwar, No DAP; dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang.

BERSATU Johor pula mengingatkan Datuk Hasni Mohammad boleh tumbang bila-bila masa gara-gara sikap Menteri Besar Johor itu yang didakwa angkuh dan sombong. Akhirnya, situasi panas itu terpaksa diredakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan memberitahu, BERSATU Johor tidak membuat sebarang keputusan berhubung penarikan sokongan terhadap Hasni kerana soal negara, negeri dan rakyat menjadi tumpuan utama BERSATU Johor.

Khairy Jamaluddin pula mahu pemilihan UMNO disegerakan sebagai satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman UMNO. Siapa harus disokong, dipilih atau disingkirkan dalam pemilihan itu?

Sebenarnya, banyak lagi reaksi yang menyusul dari PAU 2020 yang turut gagal meletakkan hala tuju UMNO seterusnya.

Antaranya, suasana dalam UMNO kini mulai ada ‘getaran’ (dan dikhuatiri menjadi ‘gegaran’) sejak Ahad lalu walaupun Khairy mengatakan ‘ada kemelut dalaman UMNO’. Kini mula nampak semacam ada blok-blok dalam UMNO – yang bertelingkah, yang berdiam diri, yang menyanggah dan yang mahu kekal dalam Kabinet serta yang enggan melepaskan tempat duduk pengerusi dalam agensi atau GLC.

Zahid mencabar Menteri UMNO meletakkan jawatan. Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah pun mendesak perkara sama. Tetapi ternyata, menteri dan timbalan menteri UMNO lebih bersikap matang apabila mereka sepakat meneruskan khidmat untuk membantu pengurusan negara dalam menangani wabak COVID-19, pemulihan ekonomi dan mewujudkan kestabilan negara.

Pada pertemuan Muhyiddin pada Isnin lalu, tidak menetapkan keputusan sama ada menteri dan timbalan menteri UMNO perlu meletak jawatan atau sebaliknya. Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba berkata: “… kita dalam Kabinet dan juga kerajaan (turut perlu) untuk membantu negara. Dan ia perlu dilaksanakan sebaik mungkin dan menteri-menteri daripada UMNO sebenarnya bertekad untuk bersama-sama dengan kerajaan sekarang ini, memastikan semua yang telah kita gariskan untuk dilaksanakan.”

Apakah keputusan mereka ini dianggap sebagai mencabar keputusan kepemimpinan UMNO dan tidak mengendahkan cabaran Zahid?

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian, dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia berkata: “Tidak ada sesiapapun yang untung bila parti tidak menampakkan solidariti.”

Ditanya apakah kerugian kepada UMNO apabila memutuskan hubungan dengan BERSATU dan menarik sokongan terhadap PN, beliau berkata, UMNO tidak ada lagi rakan strategik dari dalam kerajaan yang boleh membantu sistem penyampaian dan jentera.

Dalam perkembangan lain, Bank Negara mengunjurkan ekonomi Malaysia  berkembang antara 6.0 dan 7.5 peratus pada 2021 berbanding penguncupan 5.6  peratus pada 2020.  Ini pastinya kesan daripada pelbagai usaha Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melakukan pemulihan ekonomi, melaksanakan program vaksinasi COVID-19 serta menyediakan sokongan dasar yang berterusan untuk isi rumah dan perniagaan serta pemintaan luaran yang semakin baik.

Bukankah kesan ini juga sumbangan daripada hasil kerja keras menteri dan timbalan Menteri UMNO dalam PN? Apakah komen Zahid mengenai prestasi anak-anak buahnya ini? Sikap dan pendirian anak buah beliau dalam Kabinet bukan untuk ‘menderhaka’ tetapi menunjukkan mereka ada tugas yang lebih penting dan besar untuk kesejahteraan rakyat dan memacu semula ekonomi negara berbanding daripada terlibat dalam politiking.

Selepas selesai PAU 2020 dan sejajar dengan keadaan semasa serta keperluan memperkasakan persepsi positif mengenai ekonomi dan kestabilan negara, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini memulakan lawatan dua hari ke China atas jemputan rakan sejawat, Wang Yi.

Mesyuarat dua hala juga diadakan dengan fokus mengenai isu-isu bersama peringkat serantau dan antarabangsa selain skop kerjasama termasuk agenda bersama pasca COVID-19 seperti perjalanan merentas sempadan dan pengukuhan kerjasama berkaitan vaksinasi.

Kini tiba masanya Kerajaan PN meningkatkan promosi dan usaha menarik pelaburan yang akan meningkat pacuan pertumbuhan ekonomi negara. Tiada lagi masa untuk PN terlibat dalam politiking yang akhirnya merugikan rakyat dan negara. Ketika pertumbuhan negara serantau lain semakin pantas dan tangkas, langkah Malaysia tidak lagi boleh dirantai dengan isu dalaman serta persepsi politik yang tidak stabil sehingga membantutkan pelaburan. Biarkan pahat PAU 2020 terus berbunyi…

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  1  =