Pahang tambah 696.2 hektar hutan simpan kekal

 Pahang tambah 696.2 hektar hutan simpan kekal

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) menyampaikan anugerah pekerja contoh tahunan kepada Penolong Pemelihara Hutan, Zaidi Osman pada Majlis Pelancaran Mossy Forest @ PahangGo dan Penyampaian Sijil Penghargaan Ops Pamah di Hotel Zentih.

CAMERONHIGHLANDS, 21 November 2021 – Tambahan seluas 696.2 hektar dalam tempoh empat tahun sejak 2018 dilakukan untuk menjadikan keseluruhan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Pahang kini seluas 1.6 juta hektar.


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah berkenaan merupakan 57 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan yang terdapat di negeri ini setakat ini.


Katanya, sejak diamanahkan menjadi Menteri Besar Pahang pada 15 Mei 2018, kerajaan negeri telah mewartakan seluas 16,020 hektar HSK bermula seluas 696.2 hektar diikuti 6,469.33 hektar pada 2019.


Menurutnya, tahun lalu seluas 1,213.03 hektar telah diwartakan sebagai HSK dan tahun ini seluas 7,641.44 hektar telah diwartakan.


“Kerajaan negeri juga menambah keluasan kawasan Hutan Tadahan Air, dalam tempoh sembilan bulan tahun ini seluas 343,503.35 hektar yang bersamaan 10 peratus daripada keluasan tanah Pahang seluas 3.6 juta hektar atau 21 peratus keluasan kawasan HSK.


“Keputusan kerajaan negeri menambah meluaskan HSK sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) menerima cenderamata daripada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.


Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Mossy Forest @ PahangGo dan Penyampaian Sijil Penghargaan Ops Pamah di Hotel Zentih, di sini semalam.


Hadir sama Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.


Wan Rosdy berkata, untuk menjaga alam sekitar dan lembangan sungai khususnya di Cameron Highlands kerajaan negeri juga telah mewartakan seluas 7.085 hektar di Kampung Raja, Mukim Ulu Telom sebagai Hutan Simpan Sungai Ikan.


Katanya, kerajaan negeri juga akan mewartakan empat lagi kawasan di Mukim Ulu Telom seluas 337.625 hektar sebagai hutan simpan.


“Empat kawasan berkenaan ialah Hutan Simpan Sungai Terla seluas 43.715 hektar, Hutan Simpan Sungai Telom (90.513 hektar), Hutan Simpan Sungai Lemoi (50.165 hektar) dan Hutan Simpan Sungai Bertam (153.232 hektar).


“Keluasan keseluruhan cadangan pewartaan hutan simpan baharu di Cameron Highlands ialah 344.71 hektar dan ini merupakan pencapaian yang memberangsangkan demi terus memelihara alam sekitar di kawasan tanah tinggi ini serta di negeri ini” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

48  −  45  =