Pahang bakal miliki pengkalan Data E-Jawi Makmur

BENTONG, 16 November 2021 – Pahang bakal menjadi negeri pertama mempunyai pengkalan data rasmi bagi kalimah dalam tulisan Jawi yang dikenali sebagai E-Jawi Makmur.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, kemudahan yang diiktiraf Dewan Bahasa Pustaka (DBP) itu boleh digunakan pelbagai pihak apabila dilancarkan nanti.

Menurutnya, agensi kerajaan, syarikat swasta dan individu yang berminat boleh mengakses ejaan yang betul bagi perkataan dan istilah dikehendaki.

Katanya, usaha menyediakan pengkalan data tulisan Jawi yang pertama itu dilakukan MUIP serta dibangunkan oleh Munsyi terdiri daripada kumpulan pakar tulisan Jawi yang diiktiraf Dewan Jawi DBP.

BENTONG..Ketua Pegawai Eksekutif MUIP,
Datuk Ahmad Hairi Hussain (kanan) dan Dr Asmadi Abdul Rahman (tengah) pada Majlis Penutup Bengkel Munsyi Pahang.

“Pahang kini mempunyai seramai 38 Munsyi yang ditauliah DBP, mereka terdiri daripada golongan profesional MUIP, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Kolej Universiti Sultan Haji Amad Shah (KUIPSAS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kelas al Quran dan Fardhu Ain (Kafa).

“Mereka berpengalaman luas dan mahir dalam bidang masing-masing,” katanya pada Majlis Penutup Bengkel Munsyi Pahang yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain, di sini semalam.

Dr Asmadi berkata, program tiga hari itu bertujuan untuk semakan ejaan sebelum dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. Beliau berkata, selain pengkalan data sistem berkenaan turut dilengkapi maklumat ejaan istilah terkini, nama hotel, syarikat perniagaan, tempat, jalan, tokoh dan sebagainya.

“Rujukan utama pihaknya ialah Daftar Kata Bahasa Melayu (DKBM) dengan Panduan Umum Ejaan Jawi 2020.
“Diharapkan E-Jawi Makmur ini akan dimanfaatkan bukan sahaja oleh warga Pahang tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya.