Pagoh kubu kuat Muhyiddin sejak 50 tahun lalu

 Pagoh kubu kuat Muhyiddin sejak 50 tahun lalu

Oleh Mohd Kamal Ahmad

SASTERAWAN Negara, Allahyarham Dato’ Usman Awang, ada menulis puisi khusus untuk kita, berjudul ‘Melayu’. Karya ini cukup sinis, tajam dan dalam maknanya serta inklusif skopnya. Sebagai anak jati Johor, Allahyarham menulis puisi dengan tinta air mata keinsafan apabila  dapat menyorot jauh potensi kemelut Melayu dengan lensa mata hatinya. Antara bait puisi yang ditulis pada 1988 itu ialah MELAYU saudaraku yang dikasihi, dalam kekeruhan ini carilah KEJERNIHAN…”

Saranan ini adalah satu cabaran untuk semua Melayu dan ia tetap menepati kehendak Islam yang menuntut umatnya sentiasa memperkukuh silaturahim dan menjaga perpaduan. Islam melarang umatnya memutuskan silaturahim dan berpecah-belah sesama sendiri kerana itu akan menguntungkan musuh-musuh kita.

Tetapi ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, minggu lalu terhambur pelbagai kata-kata yang tidak manis, tuduhan yang melukakan hati dan persoalan yang memenatkan untuk dileraikan – apa lagi UMNO mahu.  Semangat muafakat, matlamat perjuangan, keluhuran budi bahasa, kewarasan fikiran dan panjang akal budi Melayu sepatutnya disubur dan dipertontonkan di atas platform sebuah organisasi Melayu yang cukup senior untuk jadi ikutan anak bangsanya.

Sebaliknya, yang lebih ketara ialah hentam sana, belasah sini, menerajang tak kena tempat serta keghairahan memerah limau di atas luka bangsanya sendiri. Antaranya, kenyataan orang Johor – Datuk Hasni Mohamed, yang lebih cenderung mengumumkan dakwaan rambang: “… bahawa kajian daripada Badan Perhubungan menyatakan bahawa Melayu di Johor yang menyokong Perikatan Nasional hanyalah 26 peratus. Jadi ini bererti bahawa Perdana Menteri adalah lemah di kawasannya sendiri.”

Hasni seperti terikut-ikut rentak bossnya. Hasni lupa mesej puisi Usman Awang. Namun  beliau tentu ingat, Muhyiddin adalah antara ADUN yang membolehkannya duduk di kerusi Menteri Besar. Tetapi Muhyiddin berjiwa besar dan tidak meragam. Beliau tenang dengan sikap Hasni yang turut membelasah Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, dengan ‘kenyataan yang boleh disifatkan sebagai angkuh.’ Apakah Hasni melakukan provokasi? Atau sengaja hendak mencurah minyak ke dalam api sekali gus melebarkan lagi jurang perpaduan UMNO-BERSATU-PAS?

Kenyataan Hasni turut mengundang reaksi tegas pengundi dan penduduk di Pagoh yang Menteri Besar itu dakwa tidak menyokong Muhyiddin. Warga senior Pagoh, Haji Tahir Rahmat berkata; “Saya selaku orang lama yang telah tujuh kali mengundi ingin sekali menegaskan, Pagoh adalah kubu kuat Tan Sri Muhyiddin dan tiada satu calon pun yang mampu menggugatnya.

“Rata-rata undi yang diterima oleh beliau tidak kurang daripada 22,000 undi bagi setiap pilihan raya. Ini jelas menunjukkan betapa cintanya rakyat Pagoh kepada beliau. Tan Sri Muhyiddin telah membawa jenamanya sendiri untuk kekal diingati dan disayangi,” katanya yang menunjukkan Pagoh adalah kubu kuat Muhyiddin sejak 50 tahun lalu.

 

Hab Pendidikan Pagoh

Beliau turut mengikuti perkembangan dan pembangunan yang dibawa oleh wakil rakyatnya. “Bermula dengan pembinaan Kompleks Sukan Pagoh hingga Hab Pendidikan Pagoh yang hari ini menjadi mercu tanda Pagoh. Selain itu, banyak masjid baharu seperti yang paling gah Masjid Haji Md Yassin, selain Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pagoh. Pelbagai lagi pembangunan yang akan muncul yang kita nantikan seperti Zon Ekonomi Bebas Pagoh dan Bandar Kesihatan Pagoh,” katanya.

Aiman Hakim Mahsuri

“Antara projek yang dibawa ke Pagoh ialah Bandar Pendidikan,” kata Aiman Hakim Mahsuri yang dilahirkan di Panchor dan bersyukur kerana diterima belajar di UTHM, Kampus Pagoh yang juga tidak jauh dari rumah keluarganya.

“Sebagai anak jati Pagoh, saya berasa amat berbangga dengan pemerkasaan institusi pendidikan di sini yang sekali gus memberikan nafas baharu untuk sektor sampingan lain turut berkembang secara seiring seperti ekonomi, infrastruktur dan sosial,” tambahnya.

Sebagai Presiden Anak Jati Johor UTHM (MAHAJJ) Sesi 2021/2022, beliau turut memiliki data yang menunjukkan ramai anak Pagoh dan Muar yang diberi peluang untuk melanjutkan pengajian UTHM, UIAM, UTM dan Politeknik Tun Syed Nassir di Hab Pendidikan Pagoh itu.

Azlin Ayub

“Terima kasih Tan Sri atas jasa sumbangan komputer riba kepada saya untuk memudahkan saya belajar online dan terima kasih juga atas sumbangan barangan persekolahan untuk adik-adik saya bagi memulakan sesi persekolahan. Tan Sri Muhyiddin Bapa Prihatin Rakyat Malaysia!” katanya.

Muhyiddin menjadi Ahli Parlimen Pagoh mulai 1978 dan berada dalam politik sejak 1971. Justeru, pembangunan di Pagoh adalah hasil tangan dan perancangan beliau tidak boleh dinafikan. Sejak lebih 50 tahun dalam politik, beliau turut melahirkan ramai pemimpin pelapis politik khususnya di Johor.

Antara anak didik beliau termasuk Ismail Mohamed yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 yang meraih 16,631 undi berbanding Muhyiddin (23,558 undi) dan calon dari PAS, Ahmad Nawfal Mahfodz (2,483 undi). Kali ini, UMNO Pagoh bertegas tidak mahu memberi laluan kepada Muhyiddin walaupun Badan Perhubungan UMNO Negeri setuju untuk memberi laluan kepada Perdana Menteri dalam PRU15 akan datang.

“Menjelang PRU15 ini, tiada istilah sokongan pengundi dan Melayu di Pagoh, Johor ataupun seluruh negara terhadap Tan Sri Muhyiddin mahupun PN semakin merosot sebagaimana didakwa,” demikian ketegasan suara wanita Pagoh yang digambarkan oleh Puan Azlin Ayub, seorang usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Azizul Keliwan

“Selaku Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Panchor dan mewakili wanita di Pagoh, saya menyeru kepada semua rakyat Pagoh kekal mendukung YAB Perdana Menteri bagi memastikan beliau terus melestarikan Pagoh. Terima kasih Tan Sri dan kekallah menjadi wakil rakyat kami!

“Jasa beliau yang banyak sehingga hari ini tetap saya dan pekerja-pekerja saya kenang,” kata pengusaha kuih batang buruk dan makanan sejuk beku itu.

Azizul Keliwan pula menghormati Muhyiddin yang menolak politicking tetapi terus fokus kepada soal keselamatan dan kebajikan rakyat.

“Barulah nampak beliau meletakkan rakyat sebagai keutamaan dari benda-benda lain. Inilah pemimpian yang kita mahukan dalam situasi negara yang tidak menentu akibat COVID-19. Sebab beliau seorang yang mendengar keluh kesah rakyat.

“Sejak menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah culas membantu peniaga kecil seperti saya melalui PENJANA dan PEMERKASA. Bantuan sebanyak RM3,000 untuk peniaga dan tambahan RM1,000 telah diterima melalui insentif PENJANA. Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada kepimpinan kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +    =  6