PAGISA yakin fakulti baru UMS perkasa pembangunan Islam di Sabah

 PAGISA yakin fakulti baru UMS perkasa pembangunan Islam di Sabah

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

SEPANGGAR, 14 Jun — Penubuhan Fakulti Pengajian Islam di Universiti Malaysia Sabah (UMS) amat  sesuai dengan keperluan semasa untuk memperkasa pembangunan ilmu dan penyebaran syiar Islam di rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur meliputi Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).

Fakulti itu sememangnya sudah lama dinantikan oleh cendekiawan Islam di Sabah, pelajar jurusan pengajian Islam dan masyarakat yang mahu anak mereka melanjutkan pengajian di fakulti berkenaan.

Zakaria Barabag

Presiden Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Zakaria Barabag, berkata persatuan itu yakin fakulti baharu tersebut dapat menyediakan tempat, inisiatif dan sokongan infrastruktur kepada ilmuan yang dengan sendirinya memberi impak secara langsung atau tidak langsung terhadap masyarakat Islam setempat dan peringkat serantau.

Selain itu katanya, berupaya memperkukuh pembangunan bidang ilmu teras mengenai Islam dan dapat memperluaskan bidang penyelidikan yang meliputi ilmu sains, perubataan Islam, industri dan pelbagai bidang ilmu lain mengikut perspektif Islam.

Beliau berkata, ia mencakupi usaha untuk membangun serta mempromosi Hab Halal bagi menggalakkan pelaburan peringkat domestik dan serantau melalui industri pemakanan yang patuh syariah.

“Sebagai sebuah gedung ilmu yang terbesar di negeri ini, UMS sewajarnya menjadi sumber utama yang merancakkan pertukaran ilmu dalam kalangan cendekiawan Islam, pelajar universiti awam itu dan masyarakat Islam setempat.

“Kewujudan fakulti baharu itu dilihat lebih mempermudahkan anak-anak tempatan melalui penawaran melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi iaitu sarjana muda dan pasca siswazah mencakupi sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Kita percaya fakulti ini juga akan membantu melahirkan tokoh-tokoh ilmuan Islam dalam bidang-bidang yang khusus yang dengan sendirinya  pendakwah di negeri ini turut meningkat  pada masa depan,” katanya kepada Wacana.my, di sini.

Baru-baru ini, Jabatan Pendaftar UMS memaklumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju meluluskan penubuhan entiti akademik Fakulti Pengajian Islam UMS berkuatkuasa pada 10 Mei lalu.

Zakaria berkata, PAGISA juga berharap fakulti baharu itu dapat memperkukuh hubungan serta kerjasama dengan institusi keilmuan yang lain, jabatan- jabatan agama, pihak swasta dan NGO yang wujud di negeri ini.

“Faktor ini dijangka memberikan manfaat besar kepada  penduduk Islam di Sabah yang belum mendapat akses tentang pendidikan Islam sepenuhnya. UMS juga mempunyai kelebihan dari segi kedudukannya yang strategik di rantau ini kerana lokasinya yang terletak dalam zon ekonomi eksklusif BIMP-EAGA.

“Kedudukan strategik ini merupakan satu peluang besar kepada pihak fakulti memperluaskan sayapnya membina hubungan dua hala melalui pakej-pekej menarik untuk mewujudkan kerjasama pintar dengan institusi berkaitan dalam kalangan negara anggota BIMP-EAGA,” katanya.

 

Mohd Azrone Sarabatin

Azrone@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1