Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Padah melepak, dikompaun RM1,500

Empat remaja yang ditahan melepak di bawah Flat Stulang, Johor Bahru dikenakan kompaun RM1,500 seorang. Foto IPD JB
JOHOR BAHRU, 7 Jun – Tindakan sekumpulan remaja ‘melepak’ di bawah flat Stulang, di sini semalam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 membawa padah apabila empat daripada mereka dikompaun RM1,500 setiap seorang.

Aktiviti kumpulan remaja itu disedari polis dalam rondaan dijalankan pada jam 4.30 petang dan ketika diserbu, kesemua mereka bertempiaran lari.
Menurut Polis Daerah Johor Bahru Selatan, empat remaja daripada kumpulan itu berusia antara 15 hingga 22 tahun telah ditangkap dan dikenakan kompaun.
“Polis telah melihat sekumpulan lelaki berkumpul lebih kurang 10 hingga 15 orang di taman permainan berhampiran sebuah flat di Jalan Sri Stulang.
“Menyedari kehadiran polis, beberapa orang lelaki tersebut bertindak melarikan diri dan polis berjaya menahan empat lelaki kerana tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keempat-empat lelaki tersebut telah dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang mengikut kesalahan di bawah peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Polis terus melakukan operasi pemantauan dan pematuhan SOP setiap masa dan tidak akan berkompromi terhadap individu yang didapati melanggar SOP PKP 3.0 ini.