OSB bakal lahirkan 1,000 usahawan burger

 OSB bakal lahirkan 1,000 usahawan burger

Datuk Mohd Izhar (kanan) dan Muhammad Dinie menunjukkan sos yang digunakan untuk menghasilkan burger selepas merasmikan Wisma OSB dan perasmian Program Pembangunan Usahawan Johor di Iskandar Puteri, kelmarin

ISKANDAR PUTERI, 30 Mac – Pengendali burger petak, Official Street Burger (OSB) Global Resources Sdn Bhd, menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan di bawah payung perniagaan OSB yang semakin mendapat sambutan pengguna.

OSB yang diasaskan pasangan suami isteri, Muhammad Dinie Mohamed dan, 30, dan Nur Khalijah Zaidan, 29, sejak 2014 kini berjaya membuka lebih 100 outlet di Johor dan Melaka.

Muhammad Dinie yang Ketua Pegawai Eksekutif OSB yakin sasaran itu dapat dicapai menerusi jalinan kerjasama erat antara beberapa pihak terlibat.

Menurutnya, jenama itu kini memiliki lebih 100 gerai burger di seluruh Johor serta di Melaka.

“Kami mempunyai pengalaman lebih lima tahun dalam perniagaan burger dan perbekalan makanan berasaskan burger.

“Kami dalam perancangan melahirkan 1,000 usahawan burger di seluruh negara. Usaha ini dibuat bagi membantu lebih ramai masyarakat kembali bangun dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Wisma OSB di Kawasan Perindustrian Nusabayu, di sini kelmarin.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd Izhar Ahmad.

Muhammad Dinie berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, OSB menyediakan dua pakej kepada usahawan yang berminat, iaitu Pakej Bajet dan Pakej Medium.

Pakej Bajet berharga RM5,000, manakala Pakej Medium berharga RM10,000 dengan usahawan akan diberi bimbingan, gerai, peralatan, barangan, akaun e-wallet serta peranti yang diperlukan untuk memulakan perniagaan.

“Kami juga bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri untuk mencapai matlamat ini,” katanya sambil memberitahu setakat ini 354 usahawan telah berdaftar dalam program berkenaan.

Pengurus Besar OSB, Nur Khalijah berkata, pihaknya akan menyediakan program latihan dan bimbingan kepada mereka yang berminat sehingga dapat membuka gerai OBS mereka sendiri dan menjana pendapatan.

“Tiada syarat yang ketat dikenakan, cuma mereka yang berminat mempunyai keinginan menjadi usahawan, integeriti dan lokasi perniagaan yang strategik.

Sementara itu, Mohd Izhar memaklumkan kerajaan negeri menyediakan pelbagai geran, bantuan dan insentif kepada rakyat negeri ini yang menceburi bidang keusahawanan.

“Saya menyeru rakyat, termasuk belia dan pekerja yang terjejas akibat pandemik COVID-19 untuk merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan dalam menambah pendapatan mereka,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

98  −    =  88