Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Orang Menggatal tidak gatal?

Pasar Menggatal sudah ditukar nama kepada Pasar Manggatal sejak 11 tahun lalu. – Gambar Mohd Azrone Sarabatin
SEPANGGAR, 28 Jun – Walaupun ejaan Menggatal sudah diubah kepada Manggatal hampir 11 tahun lalu, namun sebutan lama pekan di pinggir bandaraya Kota Kinabalu itu kekal sehingga kini.
Majoriti penduduk kampung tradisi didiami masyarakat Bajau dan Kadazandusun di daerah itu seperti Kampung Darau, Rampayan, Gudon, Numbak, Tebobon, Sinagang, Kembirian, Kokol dan Lampugo tetap memanggilnya Menggatal walaupun lebih sedekad ditukar nama kepada Manggatal.
Menggatal, antara pekan lama di pinggir bandar raya dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selain Inanam, Telipok dan Tanjung Aru yang wujud sejak sebelum merdeka.
Penamaan semula Menggatal kepada Manggatal adalah usaha bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Johnny Goh pada September 2010. Pekan Menggatal ketika itu terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha menamakan semula pekan itu bukan bermakna penduduknya `gatal’, sebaliknya untuk memperbetulkan fakta berhubung nama sebenar pekan berkenaan, selain memberi persepsi `orang Menggatal tidak gatal’.
Ini kerana menurut Johnny, kebanyakan pengunjung tidak tahu mengenai sejarah Menggatal yang berasal daripada perkataan `mangga gatal’ dan sepatutnya dieja Manggatal.
Bekas Kurator Jabatan Muzium Sabah, Ismail Mansor yang juga penduduk asal Menggatal, berkata ejaan sebenar pekan berkenaan adalah `Manggatal’ berasal daripada perkataan `mangga gatal’.

Katanya, beliau mendapat tahu ejaan berkenaan daripada bekas Menteri Kerajaan Sabah, Datuk Haji Abdul Malik Jangkat yang juga ADUN Inanam pada awal 1970-an.
Beliau berkata, sebelum merdeka Menggatal adalah kawasan pertanian penting di Pantai Barat Sabah dan di sepanjang Sungai Menggatal ada pelbagai spesies mangga termasuk spesies yang hanya ada di Sabah seperti `wani’ (kuini), embasang dan bambangan.
“Ketika itu, pekan Menggatal belum ada nama. Ada sebatang sungai berhampiran pekan itu. Sepanjang sungai yang sekarang dikenali Sungai Menggatal, banyak pokok mangga tumbuh di tebing sungai dan buahnya jatuh ke dalam sungai.

“Ini menyebabkan air sungai gatal. Masyarakat Cina yang menetap di situ menamakannya `Menggatap’, namun kaum Dusun yang sudah lama menetap di situ tidak bersetuju kerana perkataan `Menggatap’ tiada makna sama ada dalam bahasa Dusun mahupun bahasa Melayu.
“Masyarakat Dusun kemudiannya memberi nama `Mangga Gatal’ yang kemudian ejaan digabungkan menjadi `Manggatal’, namun ketika pewartaan berlaku kesilapan ejaan kepada `Menggatal’,” katanya yang juga wartawan veteran dan bekas Setiausaha Akhbar kepada Haji Abdul Malik Jangkat.
Bagi wartawan veteran Sabah, Anna Vivienne, hasil kajiannya,Menggatal mendapat nama daripada ikan `basung’ (selayang) yang buruk dan dibuang ke dalam sungai menyebabkan mereka yang mandi di sungai berkenaan terasa kegatalan anggota badan.

Katanya, mengikut cerita ayahnya, sekumpulan penduduk menangkap ikan `basung’ di perairan Api-Api (sekarang Kota Kinabalu) dan mereka mudik ke hulu untuk menjual ikan,namun tiada pembeli menyebabkan ikan buruk dan mereka buang ke dalam sungai yang sekarang Sungai Menggatal.
“Mereka yang mandi di sungai kegatalan seluruh anggota badan atau dalam dialek tempatan Sabah disebut `Mangkatol’, namun ketika pewartaannya, dieja `Menggatal’ menyebabkan nama itu menenggelamkan nama asal, sebelum dinamakan semula kepada Manggatal,” katanya yang juga penulis buku `Strange Magic and Supernatural Encounters’Â

Walaupun nama Menggatal agak ganjil dalam kalangan masyarakat luar, namun ia turut memiliki universiti awam yang unggul, termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah yang dikenali UiTM Kampus Menggatal, manakala sebelum penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS), ada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Sabah juga terletak di Menggatal.
Bagaimanapun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menggatal sudah dijenamakan semula kepada SMK Bandaraya.