OPR bakal dinaikkan?

 OPR bakal dinaikkan?
Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
PADA 4 Mac lalu, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan, Kadar Dasar Semalaman dikekalkan pada paras 1.75 peratus. Secara dasarnya, keputusan ini telah pun dijangka di kalangan penganalisis ekonomi berikutan terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi, baik dari segi ekonomi domestik dan luaran. Angka eksport negara pada Januari lalu meningkat 6.6 peratus dan dipacu oleh sektor pembuatan yang melonjak dua digit iaitu 11.7 peratus. Indeks Harga Pengguna (IHP) pula menguncup pada kadar yang mengecil iaitu 0.2 peratus pada Januari berbanding negatif 1.4 peratus pada bulan sebelumnya.
Prestasi ekonomi global juga dilihat agak memberangsangkan seiring dengan pelaksanaan program vaksinasi yang sedang giat dijalankan di serata dunia. Pasaran buruh di Amerika Syarikat mencatatkan jumlah pekerjaan diwujudkan, yang baik. Statistik Nonfam Payroll (NFP) yang mengukur jumlah pekerjaan yang diwujudkan mencatatkan peningkatan 379,000 bagi Februari. Kadar pengangguran juga terus merosot kepada 6.2 peratus bagi Februari berbanding 6.3 peratus pada tempoh sebelumnya. Sentimen pengeluar atau peniaga juga meningkat juga dilihat semakin baik. Indeks JP Morgan Global Manufacturing PMI yang mengukur sentimen di kalangan pengilang meningkat kepada 53.9 mata bagi Februari. Bacaan melebihi 50 mata menandakan ramai pengilang optimis manakala bacaan bawah 50 mata menandakan ramai pengilang pesimistik berkenaan tinjauan perniagaan mereka.
Akibat daripada statistik ekonomi yang dilihat menunjukkan proses pemulihan berjalan lancar, pasaran bon global dilihat seolah-olah memberi isyarat bahawa tren kadar faedah dijangka akan meningkat. Sebagai contoh, kadar pulangan bon (bond yield) bagi bon perbendaharaan Amerika yang bertempoh matang 10 tahun melonjak ke paras 1.57 peratus pada Jumaat lalu berbanding 0.91 peratus pada awal Januari tahun ini. Begitu juga kadar pulangan bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia atau Malaysian Government Securities (MGS) yang bertempoh matang 10 tahun juga sudah melebihi paras 3 peratus berbanding sekitar 2.65 peratus pada awal Januari lalu.
Kebiasaannya, pasaran kewangan seperti bon bergerak lebih cepat daripada data-data ekonomi. Perkara ini menimbulkan persoalan seperti apakah OPR akan dinaikkan dalam jangka masa terdekat ini? Namun, pasaran bon juga boleh tersilap dalam mentelaah apakah tren yang akan muncul terutamanya dari sudut jangka masa ia akan berlaku. Berdasarkan kenyataan MPC, ahli-ahli di dalam jawatankuasa tersebut dilihat seolah-olah begitu positif dalam penilaian mereka terhadap situasi ekonomi semasa. Ekonomi negara pada suku pertama dijangka bakal terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan. Ini disebabkan pergerakan manusia yang terhad serta operasi perniagaan yang menghadapi pelbagai kekangan akibat pelaksanaan Prosedur Operasi Standard yang boleh menjejaskan produtiviti dan meningkatkan kos perniagaan.
Bagaimanapun, ekonomi Malaysia dijangka bergerak dengan lebih pantas pada suku kedua dan seterusnya berikutan pelaksanaan program vaksinasi  di samping ekonomi global yang diunjurkan lebih baik. Perkara ini disebabkan kemungkinan proses pembukaan ekonomi akan berlaku dengan lebih lancar lagi. Langkah PKP yang perlahan-lahan dilonggarkan seperti kebenaran untuk bergerak melepasi daerah memungkinkan aktiviti ekonomi akan lebih rancak lagi. Meskipun pergerakan antara negeri masih belum dibenarkan, proses pembukaan ekonomi yang beransur-ansur bakal menggalakan aktiviti perniagaan dan sosial. Kita mungkin bakal menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang melonjak dua digit pada suku kedua 2021. Selain proses pembukaan ekonomi, faktor asas yang rendah pada suku kedua 2020 juga akan banyak membantu untuk menaikkan kadar pertumbuhan KDNK yang tinggi.
Oleh itu, persoalan kenaikan OPR yang mula perlahan-lahan dibahaskan sebenarnya bukan sesuatu yang memeranjatkan. Ini kerana OPR yang rendah ini merupakan suatu ‘ubat’ kepada ekonomi yang ‘sakit’. Adalah menjadi suatu resam atau amalan apabila seseorang itu sudah pulih daripada sakitnya, ubat-ubat yang sebelum ini bagi merawat sakit tersebut akan dikurangkan dosnya. Begitu jugalah halnya dengan OPR ini apabila ekonomi negara sudah beransur pulih, kadar yang terendah dalam sejarah itu akan dinaikkan. Ini adalah bagi mengelakkan masalah lain yang mungkin akibat kadar faedah yang rendah bagi suatu tempoh yang lama.
Ia boleh menyebabkan pelabur mengambil risiko yang berlebihan kerana kos dana yang murah menyebabkan mereka cenderung untuk melabur ke dalam instrumen pelaburan yang berisiko lebih tinggi. Suasana gelembung atau “bubble” di dalam ekonomi akan timbul dan perkara ini boleh menyebabkan kejutan ekonomi yang negatif harga-harga aset yang dilaburkan menjunam. Di samping itu, pelabur asing juga akan cenderung membawa keluar wang mereka berikutan prospek pulangan pelaburan yang tidak menarik. Sudan tentu nilai ringgit akan menjadi lemah dan menyebabkan kos untuk mengimport barangan menjadi mahal.
Sehubungan itu, apakah persediaan yang sebaiknya dilakukan oleh rakyat Malaysia sekiranya OPR dinaikkan pada masa hadapan? Persediaan yang sepatutnya dilakukan adalah melihat kepada kedudukan kewangan semasa terutama dari sudut kedudukan hutang yang sedia ada. Memandangkan OPR masih lagi rendah buat masa ini, maka sekarang adalah masa terbaik untuk mengurangkan kos pembiayaan dengan melakukan pembiayaan semula terhadap komitmen hutang yang mempunyai kos dana yang tinggi. Bagi yang bercadang membeli aset seperti rumah dan tanah, mereka boleh mula membuat perkiraan dari segi kawasan yang ingin dilaburkan serta kemampuan untuk melunaskan komitmen pembiayaan tersebut. Pembelian kenderaan peribadi juga boleh dipertimbangkan sekiranya kenderaan yang sedia ada sudah pun berumur lima tahun dan ke atas. Ini adalah kerana usia kereta yang melebihi lima tahun kebiasaannya akan mula mendatangkan masalah yang mana banyak bahagian yang perlu diganti bagi mengekalkan prestasi kereta yang baik. Dengan pembelian kenderaan yang baru, maka mereka tidak perlu risau untuk kereta itu rosak dalam tempoh lima tahun pertama.
Namun, sekiranya tiada keperluan untuk berbuat demikian, tidak salah jika mereka mengamalkan strategi “do dothing” atau tidak perlu berbuat apa. Ini disebabkan terdapat perbezaan besar dan ketara mereka yang berhutang dan tidak berhutang. Mereka yang sudah melangsaikan hutang sudah tentu akan merasa bebas daripada bebanan kewangan. Perkara ini sudah tentu dapat menyuntik rasa positif serta dapat meningkatkan semangat, kreativiti dan inovasi terutamanya dalam melaksanakan tugasan masing-masing.
Kesimpulan yang boleh dibuat ialah kita perlu sentiasa memantau perubahan yang bakal berlaku yang boleh memberi kesan langsung terutamanya dari sudut kewangan. Melalui pengamatan yang teliti dan disusuli pula dengan ilmu, maka kita tidak akan mudah untuk membuat suatu kesimpulan yang terburu-buru. Ini kerana akan ada yang mula membicarakan tentang kemungkinan OPR ini yang bakal dinaikkan pada masa hadapan. Oleh itu, sentiasa peka dengan persekitaran kita dan banyakkan pembacaan yang berilmiah.
Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  9  =  14