Oppo Malaysia lancar telefon pintar 5G papar imej satu bilion warna pertama di dunia

 Oppo Malaysia lancar telefon pintar 5G papar imej satu bilion warna pertama di dunia

KUALA LUMPUR, 26 Mac — Oppo Malaysia melancarkan telefon pintar utama terbaharunya, Oppo Find X3 Pro, yang merupakan telefon Android pertama di dunia yang mampu merakam, memproses dan memaparkan imej satu bilion warna.

Naib Presiden Oppo Malaysia Garry Gong berkata telefon pintar utama 5G yang baharu itu, berharga RM4,299, dijangka mampu menggandakan jualan telefon pintar Oppo di Malaysia.

“Kami telah mula menjual telefon pintar utama ini di China dan jualannya kini adalah dua kali ganda berbanding siri sebelum ini. Kami berharap ia juga mendapat sambutan yang sama di Malaysia,” katanya kepada pihak media selepas pelancaran telefon pintar itu di sini semalam.

Gong berkata Oppo Malaysia akan lebih menumpukan kepada platform e-dagang pada tahun ini dan pengguna boleh merasai pengalaman yang lebih baik menerusi penggunaan aplikasi My Oppo, yang telah mencecah sejuta pengguna sejak ia dilancarkan tahun lepas.

“Kami juga mempunyai kedai fizikal di seluruh negara iaitu My Oppo Space,” katanya, dan menambah peranti telefon pintar Oppo yang dikuasakan dengan 5G berharga serendah RM1,500 satu set.

“Kami juga merancang melancarkan telefon pintar 5G tahun ini yang harganya lebih sedikit daripada RM1,000,” katanya.

Pesanan awal Find X3 Pro boleh dibuat mulai hari ini hingga 8 April, 2021, manakala peranti tersebut akan mula dijual di kedai pada 9 April, 2021.

Pada majlis yang sama, Oppo turut melancarkan fon telinga tanpa wayar EncoX berharga RM699, serta Perkhidmatan Oppo Premium, perkhidmatan selepas pembelian eksklusif untuk pemilik Oppo Find X3 Pro.

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =