• Sunday, 20 June 2021, 8:55 am

Operasi warga asing tanpa izin untuk divaksin – Hamzah

 Operasi warga asing tanpa izin untuk divaksin – Hamzah

Datuk Seri Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR, 4 Jun —  Operasi menahan pendatang tanpa izin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bertujuan memastikan golongan berkenaan mempunyai dokumen sah bagi tujuan vaksinasi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini berikutan kerajaan tidak boleh memberikan vaksin kepada sesiapa yang tidak mempunyai sebarang identiti atau dokumen, dan pelaksanaan itu bertujuan mendapatkan imuniti kelompok bagi melindungi rakyat.

“Ada pihak mempertikaikan tujuan operasi menahan mereka, dan menyatakan bahawa mereka yang tidak mempunyai dokumen tidak patut ditahan, namun perlu dinyatakan di sini jika mereka yang ditahan tidak mempunyai dokumen, bagaimana nak melibatkan mereka dalam program vaksinasi?

“Kerajaan tidak boleh memberi vaksin kepada golongan ini, kerana setiap pendaftaran program vaksinasi memerlukan bukti dokumen dan identiti yang sah,” katanya dalam sidang media selepas melawat ke depot imigresen sementara di Kem Program Latihan Khidmat Negara Eco Millenium, Beranang, dekat sini, semalam.

Sebelum ini media melaporkan beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mempersoalkan kedudukan pendatang tanpa izin dalam mendapatkan suntikan vaksin.

“Jika mereka tidak ditahan, adakah mereka akan keluar untuk mendapatkan vaksin? Di sebabkan itu mereka ditahan, dan kami akan siasat sama ada mereka mempunyai majikan atau sebaliknya,” katanya.

Setelah ditahan, majikan yang terbabit bertanggungjawab untuk membawa mereka pergi ke kedutaan masing-masing bagi mendapatkan dokumen sah sebelum golongan itu boleh menerima vaksin.

Hamzah turut mempelawa Ahli Parlimen serta ADUN yang menggesa bagi ketetapan itu, supaya membantu menaja pendatang tanpa izin yang ditahan tanpa dokumen serta majikan, bagi memudahkan urusan mendapatkan dokumen sah mereka.

Sementara itu, seramai 78,530 daripada 97,891 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara masing-masing, menerusi Program Rekalibrasi bagi tempoh 21 Dis 2020 hingga 1 Jun lalu.

Hamzah berkata kira-kira 108,000 warga asing telah berdaftar dan kini dalam proses untuk memohon mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara.

Jabatan Imigresen berjaya mengenalpasti kira-kira 200,000 warga asing di negara ini melalui program sama melibatkan seramai 5,009 majikan.

“Perbincangan bersama pihak kedutaan Myanmar, China, Indonesia dan lain-lain mengenai perkara ini dilakukan, dan kami mahu pastikan mereka yang berada di sini mempunyai dokumen, bagi proses penghantaran balik mahupun urusan lain,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *