Operasi pembersihan lokasi pencemaran toksik selesai

 Operasi pembersihan lokasi pencemaran toksik selesai

Kerja-kerja pembersihan dilakukan pihak JAS di kawasan tali air yang tercemar akibat sisa kimia di Kampung Baru Seri Aman, Kempas.

JOHOR BAHRU, 16 Sept — Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan ekoran berlakunya insiden pencemaran bahan kimia di tali air di Kampung Baru Seri Aman, Kempas, di sini semalam.

Penolong Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar, JAS Johor, Muhammad Faiz Mohd. Shafie berkata, kerja pembersihan itu dijalankan bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi ini.

Menurutnya, selain 12 pegawai dan anggota JAS, operasi pembersihan itu turut dibantu 26 sukarelawan daripada Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor Zon Selatan.

“Tumpuan kerja-kerja pembersihan hari ini adalah melihat saki-baki pencemaran yg masih melekat di tebing-tebing alur anak sungai berdekatan dengan rumah penduduk yang terlibat.

“Kaedah digunakan adalah dengan menggunakan ‘oil boom’ dan ‘absortion pad’ serta kaedah manual seperti cangkul dan ‘scoop’ bagi membuang sisa pencemaran yg melekat di tebing, rumput dan kayu yang berada di anak sungai,” katanya di sini.

Semalam, insiden pencemaran di Kampung Baru Seri Aman, Kempas itu telah mengakibatkan seramai 102 mangsa daripada dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara manakala empat lagi dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan akibat sesak nafas.

Muhammad Faiz berkata, pihaknya telah selesai melakukan kerja-kerja pembersihan awalan manakala pemantauan akan diteruskan dari masa ke masa.

Semalam, Pengarah JAS Johor, Dr. Famey Yusof memaklumkan pihaknya akan menghantar sampel yang diambil di lokasi yang tercemar sisa buangan industri yang bertoksik itu untuk mengenal pasti premis yang membuat pelupusan secara haram dan jenis bahan toksik yang dibuang secara terperinci.

Beliau dilaporkan berkata, sampel tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya yang menempatkan makmal lengkap bagi menentukan bahan toksik berkenaan kerana ia memerlukan penganalisaan terperinci.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2  +  3  =