OKU rasa terpinggir, kecewa masih tak diterima bekerja

 OKU rasa terpinggir, kecewa masih tak diterima bekerja

Muhammad Haikal berhasrat untuk bekerja bagi membantu meringankan beban ibunya namun masih tidak kesampaian kerana tiada majikan mahu mengambilnya bekerja.

PONTIAN, 3 Julai – Seorang pemuda berstatus orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Chokoh, di sini berasa dipinggirkan dan kecewa kerana tiada majikan mahu mengambilnya bekerja walaupun mempunyai beberapa kemahiran.

Muhammad Haikal Rezky Nasruddin, 25, memerlukan pekerjaan kerana ingin meringankan beban keluarga apatah lagi ibunya, Sidah Hamid, 52, sudah berusia manakala bapanya, Nasruddin Salleh pula meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Februari lalu pada usia 56 tahun.

Dia yang berkerusi roda berkata, biarpun menerima wang bantuan bulanan RM300, masing-masing daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, jumlah itu tidak mencukupi kerana perlu menanggung kos perubatan dan pemeriksaan kesihatan RM400 sebulan.

Muhammad Haikal Rezky berkata, berkerusi roda tidak membataskan pergerakannya kerana dia masih mampu menguruskan diri termasuk memandu kenderaan yang telah diubah suai.

“Saya belajar banyak perkara untuk hidup berdikari. Ini termasuk memandu menggunakan alat pemanduan tangan dan bagaimana nak memasukkan sendiri kerusi roda ke dalam kereta,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Muhammad Haikal mempunyai kemahiran membuat kimpalan, membaiki motosikal dan paip selain kerja-kerja kontrak serta memiliki Sijil Kursus Kejuruteraan daripada Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Semua pengalaman dan kemahiran itu diperoleh semasa masih normal sebelum terlibat kemalangan jalan raya kira-kira lima tahun lalu.

“Akibat kemalangan tersebut saya lumpuh separuh badan susulan kecederaan saraf tunjang. Namun saya masih tetap mahu bekerja kerana mempunyai pengalaman dan beberapa kemahiran.

“Saya mencari kerja di pelbagai tempat tidak kira kedai makan, kilang, bengkel dan sebagainya tetapi semua ditolak. Antara alasan diberi majikan ialah mereka mahukan orang yang boleh berdiri dan bukan duduk (berkerusi roda).

“Namun pada hakikatnya, saya memang ada beberapa kemahiran. Ini kerana sebelum ini saya suka mencari pengalaman kerja di pelbagai tempat,” katanya yang masih berharap untuk diterima bekerja.

Dia berkata, sepatutnya majikan tidak melihat kekurangan fizikal semata-mata dalam memberi peluang pekerjaan.

Sebaliknya kemampuan seseorang untuk bekerja harus diukur berdasarkan kemahiran dan kelayakan yang dimiliki.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *