OKU gigih jual kerepek paru tampung hidup, kos rawatan

 OKU gigih jual kerepek paru tampung hidup, kos rawatan

JOHOR BAHRU 24 JUN 2021. Orang kurang upaya (OKU), Syamel Azura Abdul Salam menjual kerepek paru secara dalam talian. GAMBAR IHSAN SYAMEL AZURA ABDUL SALAM

JOHOR BAHRU, 25 Jun — Seorang wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) yang menghidap jantung genetik tidak menjadikan penyakitnya sebagai halangan untuk mencari rezeki.

Dengan tekad ingin berjaya, Syamel Azura Abdul Salam, 37, menjual kerepek paru secara dalam talian untuk meneruskan kehidupan di Bandar Uda Utama, di sini sejak April lalu.

Wanita cekal yang cacat kaki kiri dari paras paha dan empat jari kaki kanan kecuali jari kelingking terpaksa dipotong akibat kencing manis sejak 2019.

Syamel Azura berkata, kehidupannya makin terhimpit apabila disahkan menghidap penyakit jantung genetik pada Mei lalu yang memberi kesan komplikasi apabila tidak memakan ubat.

“Menjadi beban bagi saya apabila pihak hospital tidak boleh memberi ubat terbabit, ‘Entresto’ secara percuma kerana harganya mahal.

“Ekoran itu, saya mencari alternatif lain dgn berniaga secara online untuk menampung kos perubatan sekitar RM1,000 setiap bulan dengan hanya menjual kerepek paru sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru, dia meminta masyarakat menyokong perniagaannya dengan membeli produk kerepek paru jenama Paru Rangup by Aunty Rock yang dijualnya.

Paru Rangup yang dijual oleh Orang kurang upaya (OKU), Syamel Azura Abdul Salam. GAMBAR IHSAN SYAMEL AZURA ABDUL SALAM

Syamel Azura merupakan ejen sah Paru Rangup by Aunty Rock Negeri Johor bagi produk terbabit dengan menjual dua perisa, iaitu jenis asli RM30 dan pedas RM37 dan tidak termasuk kos penghantaran.

“Bagi pembeli di sekitar Johor Bahru, saya buat penghantaran terus tetapi di daerah lain kos penghantaran RM8 manakala Lembah Klang RM12,” ujarnya.

Dia mengusahakan perniagaan kerepek dalam talian itu bersama-sama suaminya yang berusia 38 tahun dan mereka mempunyai dua anak yang masih bersekolah di sekolah rendah.

Sebarang pertanyaan dan pembelian boleh mengunjungi Facebook Syamel Azura atau menghubungi talian 012-7440262.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  73  =  77