OIC seru negara anggota lindungi wanita daripada disisih

 OIC seru negara anggota lindungi wanita daripada disisih

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Dr Yousef Al-Othaimeen meminta negara anggota OIC dan masyarakat antarabangsa melipatgandakan usaha melindungi wanita daripada disisih dan dipinggir.

Dalam kenyataan sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini, beliau berkata wanita harus dibenarkan terlibat dalam proses membuat keputusan kerana ini adalah elemen penting untuk mencapai pembangunan mampam seperti diharapkan.

Sambutan tahun ini bertemakan “Wanita dalam kepemimpinan: Mencapai masa depan setara dalam dunia COVID-19”.

Wanita di serata dunia sepanjang pandemik telah membuktikan mereka layak memikul peranan kepemimpinan dan membuat keputusan, mampu berdiri bersama lelaki di barisan hadapan memerangi COVID-19 antaranya dalam bidang perubatan, komuniti dan pertubuhan awam, rumah jagaan dan sektor pendidikan.

“Mereka telah menunjukkan kemahiran dan kemampuan praktikal dalam membuat keputusan dan langkah yang tepat dalam menyokong usaha negara dan antarabangsa memerangi dan pulih daripada virus itu,” katanya dalam satu kenyataan dari Jeddah, Arab Saudi.

Al-Othaimeen juga mengucapkan tahniah kepada wanita di dunia Islam dan di seluruh dunia untuk semua pencapaian terutama usaha luar biasa dalam membantu memerangi pandemik COVID-19 dan pemulihannya.

Beliau berkata isu pemerkasaan wanita kekal menjadi keutamaan OIC dan ia menuntut langkah-langkah kukuh untuk memastikan penyertaan aktif kaum itu di pelbagai peringkat.

Antara langkah dilaksanakan OIC ialah meningkatkan status wanita, melarang diskriminasi dan mendepani cabaran dihadapi negara-negara anggota menerusi pelancaran persidangan dwitahunan untuk wanita dan menerima pakai Pelan Tindakan OIC untuk Kemajuan Wanita ( OPAAW).

“Mengukuhkan lagi langkah itu, pengenalan Anugerah OIC untuk Pencapaian Wanita dan penubuhan Pertubuhan Pembangunan Wanita (WDO), badan khas yang mengendalikan perkara berkaitan  hal ehwal wanita, bermula tahun lalu selepas undang-undang mengenainya berkuat kuasa,” kata Al -Othaimeen.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  76  =  81