Obsess Fyka ‘Barbie Klate’

 Obsess Fyka ‘Barbie Klate’

Oleh Ama Alias

KOTA BHARU, 27 Feb: Setiap orang biasanya mempunyai hobi tersendiri dan ada yang menjadi peminat tegar atau jadi obsess dengan idolanya. Ada minat yang dipupuk sejak kecil dan diteruskan sehingga dewasa malah ketika sudah bertukar status menjadi ibu!

Itu keunikan yang didambakan seorang ibu berusia 28 tahun, Shafieqa Mohd Asri, apabila terus tegar mengekalkan hobi suka berdandan pelbagai watak animasi sehingga digelar ‘Barbie Kelantan’.

Lebih menarik, Shafieqa yang mesra dengan nama Fyka tetap meneruskan minat berdandan dan mengenakan pakaian serta aksesori animasi meskipun bergelar ibu kepada tiga anak – Muhammad Akash Aqlan, 10; Muhammad Ashran Arshan, 9 dan Muhammad Aldian Affan, 5 bulan.

Fyka mula minat berdandan cara unik itu untuk menjadi lebih yakin dan seronok apabila mampu menampilkan ‘sisi lain’ dirinya melalui kreativiti mekap dan cara berpakaian. Antaranya, menerusi tema tertentu seperti naagin (ular), cosplay, mumia, vampire dan puteri Disney sehingga mendapat jolokan Barbie.

“Saya mengambil masa antara 60 hingga 90 minit bagi menyiapkan solekan dan berdandan mengikut watak yang ditonjolkan. Biasanya watak yang dipilih adalah watak animasi Jepun ataupun watak popular kanak-kanak seperti  princess,” katanya kepada Wacana.my.

Fyka berkata, kebanyakan aksesori dan pakaian dibeli dari luar negara seperti China, Korea dan Thailand dengan kos lebih RM30,000.

Beliau turut menyediakan perkhidmatan menyewakan pakaian dan aksesori bertema sesuai dengan minatnya dalam bidang itu selain turut aktif menjadi model peragaan bersama suami tercinta, Mohd Sharifuddin Ab Halim Sivanesan, 38.

Ketika ini Fyka mempunyai koleksi lebih 30 rambut palsu, mascot, aksesori dan pelbagai alatan mekap yang ditempatkan dalam satu bilik khas di rumahnya di Kampung Pengkalan Chepa.

Menurut Barbie Kelantan itu,  setakat ini beliau sudah menjayakan lebih 20 acara dan peragaan selain puluhan photoshoot termasuk yang dia sendiri anjurkan dengan tema unik seperti mumia, zombie, Marilyn Monroe dan sebagainya.

Katanya, di sebalik hobi uniknya, dia turut mendapat pelbagai reaksi termasuk yang mengecamnya dengan pelbagai kata-kata namun lebih ramai yang teruja dan mengagumi dirinya yang masih meneruskan minat meskipun bergelar ibu.

“Hasilnya saya juga mendapat tawaran kerjasama dengan beberapa syarikat menjayakan program mereka dengan membawa pelbagai watak fiksyen seperti Harley Quinn, selain menjadi pilihan jurugambar menjalankan penggambaraan foto bertema,” katanya.

Selain aktif dengan sewaan kostum dan perniagaan atas talian, suri rumah hebat ini turut aktif mengambil tempahan masakan air tangannya sendiri seperti pulut kuning dan rendang, makaroni bakar, pani puri dan sebagainya.

Ujar Fyka, meskipun sebagai wanita yang menjadi ibu dan mempunyai tugasan rumah, tidak menjadi masalah untuk beliau meneruskan hobi atau minatnya asalkan tanggungjawab terhadap keluarga tetap diutamakan.

“Saya bertuah kerana suami sangat menyokong apa yang saya lakukan, dan saya berharap menjadi idola kepada wanita di luar sana untuk melakukan apa sahaja yang mereka inginkan meskipun sudah bergelar ibu ataupun semakin berusia,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

71  −    =  66