Objek misteri ‘tenggelam timbul’ di Sungai Perak

 Objek misteri ‘tenggelam timbul’ di Sungai Perak

Oleh Mohd Kamal Ahmad

TELUK INTAN, 17 Mac – Apakah objek misteri yang terdapat dalam Sungai Perak dekat Jalan Pasar di sini? Ada yang mengatakan, objek besi waja itu sebagai kepala (lokomotif) kereta api. Tetapi persoalannya, kenapa dan bagaimana ia berada di situ walaupun suatu ketika dahulu terdapat perkhidmatan kereta api yang tamat di bandar ini? Kata-kata lain pula menyebut, objek misteri itu adalah enjin atau dandang kapal wap.

Menurut Pengusaha River Cruise Teluk Intan, Muhammad Sahrir Mustafa, yang juga anak tempatan di sini, beliau tahu mengenai kewujudan objek berukuran kira-kira enam kaki itu sejak kecil.

“Ingin tahu (sejarahnya) boleh datang ke River Cruise Teluk Intan untuk menjelajah Sungai Perak..nak cerita panjang sangat. Objek misteri yang dikatakan kepala kereta api…betul ke?” katanya kepada Wacana.my.

Sahrir berkata, objek itu ‘timbul’ atau ‘tenggelam’ bergantung kepada kedalaman pasang surut air sungai. Secara purata, dalam sebulan, ia boleh dilihat lebih kurang 10 hari. Dalam sehari pula, ia ‘timbul’ antara 60 minit sehingga 90 minit sahaja dan selepas itu, objek tersebut ‘lenyap’ dalam air pasang.

Berikutan kawasan objek itu tidak ada sebarang tanda, lampu isyarat atau dipasang boya, beberapa kemalangan telah berlaku apabila ia dirempuh bot pelancong atau bot nelayan.

“Setakat yang saya tahu ada empat atau lima kali kemalangan berlaku di situ,” katanya sambil memberitahu, pihaknya mengambil inisiatif beberapa kali memasang pelampung yang diikat pada objek tersebut tetapi ianya hilang.

Kewujudan kepala kereta api itu difahamkan telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tetapi tidak ada tindakan. Usaha untuk menaikkan objek itu juga tidak dilakukan kerana didakwa kosnya agak tinggi. Difahamkan juga, pihak yang berkaitan telah mengkaji dan merungkai sejarah objek misteri tersebut.

Sebagai pengusaha bot pelancong, Sahrir tidak ketinggalan membawa lebih 100 pelanggannya meninjau objek tersebut sekiranya air surut dan ia kelihatan.

Semakan Wacana.my dalam Google mendapati, objek itu dikatakan enjin wap kapal yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun. Namun, rasional kewujudan objek itu dikatakan berlaku pelanggaran antara dua kapal wap di perairan sungai dekat di Teluk Intan (dulu adalah Teluk Anson) yang merupakan sebuah pelabuhan penting suatu ketika dahulu. Pertembungan itu melibatkan dua syarikat kapal wap iaitu Neera dan Poh Hin Guan.

Sementara itu, memperincikan perkhidmatan bot yang ditawarkan, Sahrir berkata, River Cruise Teluk Intan beroperasi pada September 2018.  Syarikat itu menawarkan perkhidmatan jelajah pesisir Sungai Perak selain mempromosikan Teluk Intan sebagai tempat pelancongan yang menarik dikunjungi termasuk keunikan Menara Condong.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah jelajah Sungai Perak menerusi Pakej A selama 45 minit (asas), Pakej B (90 minit) Pakej C (45 minit) dan  Pakej D (2 Jam).

Perkhidmatan lain ialah memancing di kelong, menyediakan bot sewa untuk memancing dan meninjau habitat kunang-kunang bermula jam 8 malam. Pihaknya turut terlibat dengan pasukan kajian ekosistem dan sungai serta menganjurkan lawatan sambil belajar.

Ketika ini, Sahrir mempunyai tiga bot pelancongan persiaran sungai dan lima lagi untuk sewaan memancing udang galah. Semua botnya ditambat di pangkalan Jeti Pokok Asam / River Cruise Teluk Intan.

Antara produk untuk disaksikan ketika persiaran ialah kawasan alam semula jadi, jeti nelayan, aktiviti bot tambang, Pulau Bangau, sangkar ikan air tawar, kapal penyedut pasir, pembuatan kapal nelayan laut dalam, tapak pelabuhan lama, feri Pulau Rawa, aktiviti nelayan darat, bangunan sarang burung walit, monumen sejarah yang dikatakan kepala kereta api serta kapal karam .

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

51  −    =  49