Nyaris maut tersepit celah kayu balak

 Nyaris maut tersepit celah kayu balak

Seorang pekerja terselit dan terperangkap dalam longgokan kayu balak di sebuah kilang di Batu 5, Jalan Mersing-Kluang, Kluang semalam.

Oleh Nurman Nasyriq

KLUANG, 16 Mac — Seorang pekerja kilang kayu nyaris maut tersepit dalam longgokan kayu balak di Batu 5, Jalan Mersing-Kluang dekat sini semalam.

Rashidi Sardi, 41, pada mulanya melakukan pemeriksaan di celah kayu balak jam 6.30 petang tetapi tiba-tiba longgokan itu bergerak sedikit.

Pergerakan longgokan kayu berkenaan membuatkan laluan keluar di celah kayu semakin sempit sekali gus menyebabkan mangsa terperangkap.

Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu memaklumkan pihak pengurusan kilang sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang untuk bantuan mengeluarkan mangsa.

Ketua Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Azmi Mohd. Bani berkata, 10 anggota dengan sebuah Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Pihak bomba terpaksa berhati-hati semasa mengeluarkan mangsa kerana bimbang longgokan kayu balak tersebut bergerak dan mengakibatkan kemalangan.

“Bomba menggunakan ‘rescue tools’ bagi mengalihkan kayu balak dan mengeluarkan mangsa. Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mangsa cedera di bahagian lutut dan operasi tamat pada jam 7.07 petang.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  29  =  37