NUTP gesa KPM tangguh PdPR 2.0

 NUTP gesa KPM tangguh PdPR 2.0

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Kajian yang dibuat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mendapati, responden mahu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Versi 1.0 dikekalkan dengan melaksanakan penambahbaikan tetapi menolak pelaksanaan PdPR versi 2.0.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, 98 peratus atau 14,043 daripada 14,298 responden memberikan maklum balas tersebut menerusi kaji selidik berhubung PdPR versi 2.0.

Beliau berkata, antara maklum balas yang diterima adalah murid belum membiasakan diri belajar dari 7.30 pagi hingga 1 tengah hari menggunakan peralatan peranti seperti komputer riba, telefon bimbit dan tablet selain meminta jumlah subjek dalam satu hari, dikurangkan.

Maklum balas lain ialah, masih terdapat ramai murid daripada keluarga berpendapatan rendah tidak mempunyai peranti untuk menyertai PdPR.

“NUTP menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pelaksanaan PdPR versi 2.0 yang menambah bebanan kepada murid, guru dan seterusnya ibu bapa kerana pihak KPM seolah-olah tidak mengambil kira situasi pembelajaran di rumah,” katanya.

Tan berkata, pihaknya telah menjalankan kajian berkenaan PdPR dari sudut pandangan ibu bapa dengan 16,554 responden memohon PdPR ditambah baik oleh KPM.

Maklum balas lain yang diterima adalah PdPR dilihat terlalu membebankan murid selain guru yang tidak dapat meneliti tahap kebolehan murid serta membebankan ibu bapa yang tidak berpelajaran tinggi.

Menurut nya, KPM harus mencari pendekatan terbaik bagi melancarkan PdPR seperti menyelesaikan masalah murid yang tidak mempunyai gajet, masalah pencapaian Internet dan mengawal harga kos peranti yang dilihat semakin meningkat.

“Pihak NUTP merayu campur tangan Menteri Kanan Pendidikan untuk menangguhkan PDPR versi 2.0 dengan mendengar rayuan serta mengambil kira rintihan murid, ibu bapa dan guru,” katanya.

Berdasarkan Panduan Pelaksanaan Jadual Waktu PdPR versi 2.0 di laman web KPM, jadual waktu yang dicadangkan bagi sekolah rendah bermula 7.30 pagi sehingga 1 tengah hari manakala bagi sekolah menengah rendah (Tingkatan 1 hingga 3) bermula 7.30 pagi sehingga 2 petang.

Melalui sesi PdPR versi 2.0 ini, guru akan menyampaikan kandungan mata pelajaran bagi 30 minit pertama, kemudian memperuntukkan 30 minit seterusnya untuk sesi latihan dan tutorial.

Guru juga perlu memperuntukkan waktu rehat pendek selama dua hingga lima minit pada setiap 30 minit sesi PdPR dan lima hingga 10 minit pada waktu peralihan mata pelajaran dengan meminta murid melakukan aktiviti seperti regangan atau senaman ringan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

63  +    =  72