Nur Jazlan henti jadi pembangkang, tumpu isu pemulihan negara

 Nur Jazlan henti jadi pembangkang, tumpu isu pemulihan negara

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR, 14 Jan 2022 – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed diminta tidak mengamalkan sikap sebagai pembangkang, sebaliknya lebih menumpukan kerja pemulihan negara serta membantu masyarakat terjejas pandemik dan banjir.

Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Gelang Patah, Fakhrul Anwar Ramli, berkata tindakan Nur Jazlan membangkitkan polemik politik berterusan berhubung kegagalan sepanjang kepimpinan Tan Sri Muhyiddin supaya meletakkan jawatan sebenarnya tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Fakhrul Anwar Ramli

“Isu dibangkitkan Nur Jazlan tidak mendatangkan sebarang manfaat dan faedah kepada kita disaat kepimpinan negara sedang fokus bersama-sama bekerja bagi memulihkan negara serta membantu pelbagai lapisan masyarakat terjejas kesan pandemik dan banjir.

“Sebagai pemimpin dalam parti kerajaan, beliau patut sama-sama memberi idea dan input bagi penambahbaikan bukannya bertindak sebagai pembangkang,” katanya kepada Wacana.my, melalui pesanan ringkas, di sini, sebentar tadi.

Katanya, Muhyiddin Yassin adalah pemimpin berjiwa besar dan mengutamakan kepentingan negara.

“Setiap tindakan dilakukan (Muhyiddin) sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik di saat negara masih bergelut dengan masalah COVID-19 dan pemulihan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Pulai itu berhubung episod kegagalan dilakukan Muhyiddin yang membuktikan bahawa Presiden BERSATU itu tidak layak diberi sebarang tanggungjawab atau jawatan lagi, pada Rabu.

Nur Jazlan dilaporkan berkata, selepas gagal menjalankan amanah sebagai Perdana Menteri ke-8 dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin kini terpalit pula dengan isu pelantikan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, sebagai orang penting dalam parti dan kerajaan, Muhyiddin sepatutnya memikul penuh segala kegagalan itu dan bukannya menuding jari kepada orang lain.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, sekiranya Muhyiddin berjiwa besar, beliau sepatutnya terus meletak jawatan sebagai Pengerusi MPN dan Presiden BERSATU atas kegagalan berkenaan.

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *