Nur Azurin terpilih penjaga gol terbaik Liga Karnataka India

 Nur Azurin terpilih penjaga gol terbaik Liga Karnataka India

KUALA LUMPUR, 27 Jan 2022 : Bekas pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah, Nur Azurin Mazlan dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik di pertandingan Liga Wanita Karnataka (Karnataka Women’s League) baru-baru ini.

Penjaga gol berusia 21 tahun itu telah terbang ke India pada 23 Disember lalu untuk meraih pengalaman baharu di dalam karier bola sepaknya apabila menerima tawaran sebuah kelab amatur, Misaka United.

Anak kelahiran Shah Alam itu merupakan penjaga gol skuad wanita kebangsaan yang berkelana ke India untuk menyertai kelabnya yang bertanding di bawah pertandingan elit bola sepak di India, iaitu India Womens’ League.

Azurin adalah antara tonggak pasukan bolasepak Mala¬yan Tigress ketika menewaskan Palestin 2-0 dalam aksi Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2022, September lalu.

Ketika di India, Azurin tidak perlu menunggu lama untuk membuat penampilan penuh apabila dia diberi kepercayaan oleh jurulatih pasukannya untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Ia sekaligus menjadikan Azurin sebagai pemain import pertama yang beraksi di Karnataka Women’s League.

Pada perlawanan pertamanya bersama Misaka United, Azurin berjaya membantu pasukan itu menewaskan Bengalaru Braves dengan jaringan 4-0, sekali gus merekodkan clean sheet.

Nur Azurin mempamerkan aksi cemerlang di sepanjang kejohannya itu.

Di perlawanan akhir pertama, Azurin sekali lagi beraksi cemerlang membantu Misaka United menewaskan Kickstart FC dengan jaringan 2-1, bagaimanapun nasib tidak menyebelahi Azurin apabila Misaka tewas 3-1 dalam perlawanan timbal balik dengan aggregat 3-4.

Walaupun kurang bernasib baik tewas di perlawanan akhir, aksi Azurin sepanjang pertandingan berjaya menarik perhatian dan menjadikan beliau penjaga gol terbaik pertandingan tersebut.

Ia pasti menjadi pengalaman berharga buat Azurin. Syabas anak muda kerana berani menyahut cabaran

Amir Hamzah Nordin

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

60  −  50  =